AGENDANASIONAL

Yayasan J’Keb Malaysia anjur majlis amal 6 Oktober ini

OLEH ALIFF HAIKAL

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Yayasan J’Keb Malaysia bakal menganjurkan majlis amal sempena sambutan ulang tahun ke-9 yayasan terbabit di TPC Kuala Lumpur, pada 6 Oktober ini.

Ketua projeknya, Amiruddin Idris berkata, majlis itu bertujuan mengumpul dana bagi membantu remaja berusia 18 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai tempat tinggal atau keluarga selepas keluar daripada rumah perlindungan kerajaan dan swasta.

“Yayasan J’keb Malaysia adalah badan bukan kerajaan bagi membantu remaja yang terpinggir dengan menyediakan tempat tinggal sementara dan memberi peluang melanjutkan pelajaran juga pekerjaan.

“Kami berharap dapat mengumpul sebanyak mungkin dana daripada badan korporat atau individu bagi memudahkan usaha membantu golongan remaja ini, sekali gus memperluaskan yayasan berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini.

Turut berangkat, Penaung Yayasan J’Keb Malaysia, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah.

Amiruddin berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk mengumpul RM100,000 daripada badan korporat, swasta atau individu pada majlis amal itu nanti.

“Sebanyak 25 meja disediakan dengan harga bermula daripada RM2,000 hingga RM5,000.

“Bagaimanapun, jika ada dalam kalangan orang awam mahu membantu menghulurkan dana boleh secara terus dengan pihak Yayasan J’Keb Malaysia atau layari yayasanjkeb.com,” katanya.

Yayasan itu diasaskan alumni penghuni Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Allahyarham Che Rozi Azrul Che Aziz pada Oktober 2009.


Pengarang :