Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Trump: Bukan masa tepat berkunjung ke Korea Utara

WASHINGTON, 17 SEPT: Presiden Amerika Syarikat, (AS) Donald Trump berpendapat sekarang bukan masa tepat untuk berkunjung ke Pyongyang selepas sebuah akhbar melaporkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengundang beliau untuk menghadiri acara yang mungkin menjadi sidang kemuncak ketiga mereka, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Minggu lalu, Trump dilaporkan berkata beliau menjangkakan untuk bertemu Jong Un lagi “pada satu ketika” dalam tahun ini.

Akhbar Korea Selatan, JoongAng Ilbo, pada Isnin melaporkan bahawa Jong Un mengundang Trump ke Pyongyang dalam sepucuk surat yang dihantar pada Ogos.

“Saya tidak mahu mengulas perkara itu,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih ketika disoal jika beliau menerima undangan itu.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk ke Korea Utara, Trump berkata: “Mungkin tidak. Saya tidak fikir beliau (Jong Un) bersedia. Saya tidak rasa kami bersedia untuk itu. Saya akan berbuat demikian pada satu ketika, mungkin pada masa akan datang.”

Trump dan Jong Un sudah bertemu sebanyak tiga kali bagi merundingkan isu pembongkaran program senjata nuklear Korea Utara sebagai pertukaran kepada konsesi ekonomi dan politik AS.

Minggu lalu, Naib Menteri Luar Pertama Korea Selatan, Choe Son Hui menawarkan untuk mengadakan rundingan pada akhir September, namun mendesak AS merangka satu cadangan baharu yang boleh diterima oleh Pyongyang.

-BERNAMA


Pengarang :