Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah meluangkan masa bertemu keluarga aktivis kemanusiaan Muhammad Nadir Al-Nuri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 17 April 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

PM perluas pengajaran kitab, bela Palestin depan kuasa besar

Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengabaikan nasib umat Islam, agama dan budaya Melayu. Selain tegas membanteras rasuah dan membantu golongan berpendapatan rendah, agenda agama dan bangsa sentiasa dekat di hati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejak 1970-an, selaku presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), beliau dekat dengan perjuangan agama, mahasiswa, ekonomi dan keilmuan. Sejak memegang tampuk kepemimpinan negara, beliau merancakkan lagi bidang-bidang tersebut.

Kediaman rasmi perdana menteri Seri Perdana di Putrajaya dijadikan tempat pertemuan alim ulama tempatan dan antarabangsa bersyarah dan berbincang tentang Islam.

Tidak cukup dengan itu, Anwar mencadangkan pengajaran kitab terkenal Hadis 40 Imam Nawawi untuk pelajar Islam di sekolah menengah agama di seluruh negara mulai tahun ini.

Menyedari umat Islam mempunyai pelbagai mazhab, aliran berfikir dan pendapat, beliau merasmikan dan mengedar semula kitab penting Adab Perbezaan Pendapat karya Dr Taha Jabir al-Alwani yang pernah dicetak pada 1990-an.

Selain tokoh ilmuwan ini, tokoh ulama terkenal zaman ini Dr Yusuf al-Qaradawi juga kenalan Anwar yang sentiasa mendukung perjuangannya. Pada Julai lalu, bersama anak ulama itu, beliau merasmikan buku Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi Autobiografi Sang Pelita Umat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Peluncuran Buku Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi ‘Sang Pelita Umat’ di Lanai Kijang, Kuala Lumpur pada 11 Julai 2023. foto AFIQ HAMBALI/PEJABAT PERDANA MENTERI

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengumumkan Malaysia menjemput 200 ulama Asia Tenggara untuk bersidang di Petaling Jaya minggu depan, antara lain bagi mengajak ke arah kesatuan dan keamanan.

Pada hujung bulan ini pula, Anwar dijangka merasmikan seminar sumbangan ulama muktabar Imam Nawawi sempena Festival Turath Islami Selangor kali kedua di Shah Alam. Dalam festival pertama, beliau mencadangkan kitab Hadis 40 diajar di sekolah.

 

Edar al-Quran

 

Susulan insiden pembakaran al-Quran di Sweden pada awal 2023, Anwar tegas mencadangkan pengedaran sejuta al-Quran bersama terjemahan dalam beberapa bahasa utama dunia untuk diedar.

Pada 15 September lalu, beliau melancarkan tiga kontena al-Quran yang memuatkan 30,000 naskhah al-Quran dan terjemahan bahasa Inggeris dan Mandarin, antaranya ke Australia, Kanada dan United Kingdom.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat naskhah al-Quran pada majlis Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran, di Nasyul Quran, Putrajaya pada 15 September 2023. Sebanyak tiga kontena dilancarkan membekalkan 30,000 naskhah al-Quran dan terjemahan Bahasa Inggeris, diiringi terjemahan Bahasa Cina ke tiga negara iaitu Australia, Kanada dan United Kingdom. Foto BERNAMA

Dalam isu-isu yang berpotensi meresahkan umat Islam dan hubungan antara kaum, bawah kepemimpinan beliau, pihak berkuasa segera menyiasat kes tersebut. Sebahagian yang disyaki terlibat diheret ke mahkamah.

Selain kuat tekadnya untuk menoktah kemiskinan tegar kumpulan B40, Anwar juga bertegas untuk memartabat penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Justeru beliau mengarahkan urusan surat-menyurat rasmi kepada jabatan kerajaan, kecuali daripada agensi luar negara, mestilah menggunakan bahasa kebangsaan. Surat yang ditulis selain bahasa kebangsaan akan dipulangkan semula.

Anwar diangkat sebagai pemimpin Islam ke-11 berpengaruh di dunia oleh majalah The 500 Most Influential Muslims tahun 2024 atas sumbangannya kepada umat. Selama ini beliau terkenal lantang mempertahan hak rakyat Palestin.

Beliau menggunakan sedaya upaya pengaruh dan diplomasi untuk menghentikan pembantaian warga Gaza yang meletus sejak 7 Oktober lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan penyampaian sumbangan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Putrajaya pada 19 Oktober 2023. Foto Facebook BERNAMA

Ketegasannya di depan pemimpin kuasa besar termasuk Presiden Amerika Syarikat pada 17 November 2023 dan Canselor Jerman Olaf Scholz (11 Mac) mengundang pujian melangit masyarakat dunia.

Kerajaan pimpinan Anwar turut melarang serta-merta kapal yang berpangkalan di Israel berlabuh di Malaysia, di samping mengecam serangan Israel ke atas Kedutaan Iran di Syria awal bulan lalu.

Bagi membantu krisis makanan dan ubatan di Gaza, Anwar berkata Malaysia bakal memberi bantuan kemanusiaan 100 kontena. Menjelang Aidilfitri, beliau dipuji termasuk pembangkang kerana berjaya membawa keluar isteri dan anak aktivis Muhammad Nadir Al-Nuri.

 


Pengarang :