BANGKOK, 11 JAN: Thailand, pengeksport beras kedua terbesar di dunia, kini berdepan penurunan sebanyak 20 peratus dalam pengeluarannya bagi musim 2020/2021 selepas negara itu mengalami kemarau paling teruk dalam tempoh empat dekad.
Presiden Persatuan Pengeksport Beras Thailand, Charoen Laothamatas berkata kemarau dan bekalan air yang rendah di kawasan takungan utama akan membawa kepada pengurangan stok beras, sekali gus menurunkan jumlah eksport dan menjejaskan golongan pesawah.
Petani di Thailand mula menanam padi pada bulan Mei ketika musim hujan bermula, dan ia sedia untuk dituai antara Ogos dan Oktober manakala pusingan kedua penanaman akan bermula pada bulan November.
Charoen berkata pengeluaran padi bagi musim 2020/2021 diunjurkan merosot sebanyak 20 peratus kepada 25.6 juta tan.
“Hasil tuaian daripada pusingan kedua dianggarkan sebanyak 3.5 juta tan, berkurangan sebanyak 30 peratus berbanding 5 juta tan pada musim sebelumnya.
“Penurunan pengeluaran beras akan mendorong kenaikan harga. Negara pengimport beras termasuk Malaysia, dijangka berpaling dari Thailand kepada pembekal utama lain seperti Vietnam, Kemboja dan India,” katanya kepada Bernama.
Harga beras eksport meningkat susulan kemarau yang semakin buruk di Thailand. Sebagai contoh, harga bagi beras putih import lima peratus hancur meningkat daripada US$423 pada Disember kepada US$443 bagi setiap tan metrik, setakat Rabu (8 Januari).
Thailand menghasilkan purata 32 juta tan beras setahun, yang menyaksikan purata 10 juta tan setahun adalah untuk dieksport.
Bagaimanapun, Kementerian Pertanian dan Koperasi berkata pengeluaran beras bagi musim 2019/2020 diunjurkan sebanyak 27 juta tan hingga 28 juta tan susulan kemarau dan banjir pada tahun lepas.
Pada 2019, Thailand menghantar 7.11 juta tan beras dalam tempoh 11 bulan pertama 2019, yang menyaksikan pengurangan sebanyak 30.4 peratus berbanding tempoh sama bagi tahun sebelumnya.
Penghantaran itu menjana pendapatan sebanyak US$2.90 bilion, merosot sebanyak 24.3 peratus.
Pada 2018, penghantaran beras Thailand berjumlah 11.2 juta tan, yang menyaksikan penurunan sebanyak lima peratus berbanding 11.7 juta pada 2017, namun lebih tinggi berbanding 9.91 juta tan pada 2016.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Pejabat Sumber Air Negara Samroeng Saengphuwong berkata kemarau, yang dijangka berlanjutan sehingga bulan Mei, akan lebih teruk pada kali ini.
Berikutan paras air yang rendah di kawasan takungan utama, beliau berkata air tidak mencukupi bagi menampung penanaman padi di kawasan seluas 960,000 hektar di sekitar lembangan Sungai Chao Phraya pada bulan-bulan seterusnya.
Oleh itu, beliau berkata Kementerian Pertanian dan Koperasi telah mengarahkan pesawah untuk menangguhkan musim menanam padi kerana negara berdepan musim kemarau dan paras air yang rendah untuk mengairi sawah mereka.
“Mereka memberikan kerjasama yang baik. Kerajaan telah merangka langkah-langkah untuk membantu pesawah yang terjejas,” katanya.
Pada 1 Januari Pihak Berkuasa Jabatan Bekalan Air Wilayah Thailand (PWA) telah memberi amaran kepada 31 wilayah agar bersiap sedia untuk menghadapi kemarau yang teruk pada tahun ini.
– BERNAMA