Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rakaman audio didedah SPRM, polis mula siasatan

SHAH ALAM, 11 JAN: Polis membuka siasatan berhubung rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa perbualan berkisar mengenai skandal 1Malaysia Berhad (1MDB) antara bekas Perdana Menteri Najib Razak dan beberapa individu lain termasuk pemimpin luar.

Perkara ini disahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid yang memaklumkan pihaknya telah menerima laporan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya petang semalam, lapor Malaysiakini.

“Saya mengesahkan laporan polis dibuat di Putrajaya petang semalam.

“Laporan itu dibuat oleh ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Mior Faridalathrash memberitahu siasatan akan dijalankan oleh unit berkenaan, yang berada di bawah Jabatan Siasatan Jenayah.

Bagaimanapun, katanya, polis belum menerima rakaman audio daripada SPRM.

Beliau enggan memperincikan akta yang diguna bagi siasatan kes itu.

Pada 8 Januari lalu, SPRM membuat pendedahan mengenai sembilan rakaman audio perbualan telefon yang didakwa melibatkan Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa individu penting lain berkaitan skandal 1MDB.


Pengarang :