Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
AGENDANASIONAL

Lantik Ketua Pesuruhjaya SPRM majoriti Dewan Rakyat jamin kebebasan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Cadangan melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat menjamin kebebasan badan itu.

Ketua Pesuruhjayanya, berkata ia antara reformasi undang-undang bakal dilakukan yang turut membabitkan penamatan perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya dan pegawai suruhanjaya itu, lapor BH Online.

“Ini perlu bagi memperlihat bahawa SPRM sebagai badan bebas dan tiada campur tangan daripada mana-mana pihak,” kata Datuk Seri Azam Baki pada Dialog@Gegau disiarkan Melaka FM, hari ini.

Beliau berkata selain itu kerajaan juga bersetuju mengasingkan pengambilan dan penamatan kakitangan SPRM di bawah seliaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dengan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM.

“Dengan memberi satu kebebasan kepada kami untuk melantik dan menamatkan kakitangan melalui suruhanjaya itu sendiri adalah lebih baik dan ini akan menunjukkan ketelusan kerajaan itu sendiri serta kebebasan SPRM dalam melakukan tindakan,” katanya.

Azam berkata tumpuan juga diberikan kepada mengurangkan ketirisan membabitkan dana kerajaan dengan memfokuskan tiga sektor utama, iaitu penguatkuasaan, perolehan dan kes berprofil tinggi.

“Tiga sektor ini (penguatkuasaan, perolehan dan kes berprofil tinggi) kalau tak ditangani dengan berkesan, maka negara akan kehilangan banyak wang,” katanya.

 


Pengarang :