Beberapa pekerja mencuci dan mengemas barang setelah selesai berniaga ketika tinjauan Media Selangor pada hari raya pertama di Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam pada 2 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Peniaga terpaksa buka kedai, penuhi permintaan pelanggan

SHAH ALAM, 2 MEI: Seorang peniaga produk sejuk beku di Pasar Moden Seksyen 6, di sini, terpaksa membuka kedai pada pagi Syawal demi memenuhi permintaan pelanggan.

Azura Mohamad, 45, yang turut mengusahakan perniagaan lemang dan ketupat palas berkata ramai pelanggan tidak sempat mengambil tempahan mereka susulan pengumuman mengejut sambutan Hari Raya Aidilfitri malam tadi.

“Jika tahun-tahun sebelum ini, hari raya pertama pasar memang tidak beroperasi sebab kami (peniaga) ada sasaran tertentu iaitu menghabiskan stok pada hari terakhir Ramadan terutama produk tumpuan ramai seperti lemang, ketupat palas dan santan.

“Apabila keadaan ini berlaku, saya terpaksa buka sekejap kedai pagi ini untuk uruskan lebih 200 lemang ditempah pelanggan yang belum diambil. Saya perlu pastikan tempahan mereka diterima baru dapat beraya,” katanya ketika ditemui.

Bagi peniaga barangan basah Mohd Zulfadhli Mohd Ismail, 39, ramai pelanggan datang ke kedainya sebaik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membenarkan aktiviti perniagaan sehingga larut malam.

Malah, beliau yang menjalankan perniagaan itu sejak 15 tahun lalu berkata masih terdapat segelintir pengunjung yang datang pagi ini untuk mendapatkan barangan keperluan ketika kedainya hampir ditutup.

“Memang tidak jangka raya hari ini sebab kita sudah sediakan stok barangan untuk dijual hari ini, tetapi tidak mengapa yang mana barang boleh simpan, kita simpan.

“Pagi ini pun masih ada pengunjung yang datang cari tauhu dan tempe walaupun kedai dibuka sampai jam 11 pagi,” katanya.

Terdahulu, tinjauan Selangorkini di lokasi pada jam 11 pagi mendapati hanya dua kedai terbabit yang beroperasi, namun difahamkan kedai-kedai lain turut dibuka sejak 5 pagi dan ditutup lebih awal.

Masyarakat Islam di seluruh Malaysia menyambut Aidilfitri hari ini selepas diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam tadi.

Pengisytiharan dibuat selepas aktiviti cerapan anak bulan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, petang semalam.


Pengarang :