SHAH ALAM, 11 MEI: Kerajaan Negeri mengagihkan 33,400 baucar Jom Shopping Aidilfitri kepada golongan kurang berkemampuan (B40).
Menerusi Facebook Dato’ Menteri Besar memaklumkan inisiatif tersebut bagi meringankan beban mereka menyambut lebaran.
“Sempena Aidilfitri tahun ini, sebanyak RM3.34 juta telah diperuntukkan untuk 33,400 rakyat Selangor menikmati baucar khas.
“Sumbangan ini disalurkan ke 56 DUN (Dewan Undangan Negeri) di Selangor,” menurut Dato’ Seri Amirudin Shari.
Berdasarkan perkongsian, seramai 450 penerima dari DUN Sungai Tua menikmati pemberian baucar Jom Shopping Aidilfitri bernilai RM100 setiap satu.
Mereka terdiri daripada keluarga B40, ibu tunggal, orang kelainan upaya, bukan ahli Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan bukan ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE).