Orang ramai menyerbu jualan murah barangan asas sempena Aidiladha anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di tapak bazar Ramadan Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah: 1,200 ayam, 1,000 papan telur habis dalam sejam

KUALA LANGAT, 5 JULAI: Bekalan ayam, telur dan minyak masak di Jualan Karnival Ehsan di Taman Perwira, Sijangkang di sini hari ini habis terjual dalam tempoh sejam.

Sebanyak 1,200 ekor ayam, 1,000 papan telur ayam gred B dan 1,700 paket minyak masak itu mendapat sambutan ramai berikutan harga ditawarkan lebih murah berbanding pasaran.

Pengurus kanan pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata pihaknya terpaksa menambah bekalan 900 ekor ayam dan 500 papan telur lagi bagi menampung permintaan pengunjung.

“Barangan asas berkenaan sememangnya diperlukan ramai menjelang musim perayaan, apatah lagi harga dijual sangat murah jika dibandingkan di pasaran.

“Pengunjung boleh dapat seekor ayam dengan hanya RM15 berbanding antara RM19.80 hingga RM20 di tempat lain. Begitu juga telur gred B dijual pada harga RM12 sepapan, manakala minyak masak RM2 sepaket,” kata Md Fazir Abdul Latif.

Orang ramai mula beratur sejak jam 7.30 pagi sempena Jualan Karnival Ehsan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di tapak bazar Ramadan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, beliau berkata jualan besar-besaran sempena Aidiladha memilih lokasi yang mempunyai ramai penduduk daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Alhamdulillah, kita tidak sangka penerimaan penduduk luar biasa apabila mereka sanggup beratur sejak jam 7.30 pagi,” katanya lagi.

Sempena Aidiladha, jualan murah barangan asas berkenaan diadakan empat hari berturut-berturut di lima lokasi.

Karnival diteruskan di Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung esok sebelum ke Dataran Batu Laut, Tanjung Sepat pada 7 Julai.

Pada 8 Julai, jualan dijadual berlangsung serentak di Jalan GP2, Taman Gombak Permai, Gombak dan belakang Blok D dan E, Pangsapuri Inai, Pandan Indah.

Produk ditawarkan ialah ayam (RM15 seekor), telur ayam gred B (RM12 sepapan), minyak masak (RM2 sepaket), daging pejal (RM35 sekilogram) dan ikan sejuk beku (RM8 sepaket).

Barangan sampingan lain turut dipasarkan seperti beras, beras pulut, ketupat mini, tepung, minyak masak botol dan gula.


Pengarang :