Pemain Bintang Gombak FC meraikan jaringan menentang Asiop Merah pada aksi suku akhir Piala Antarabangsa Garuda di Jakarta, Indonesia. Kejohanan berlangsung pada 30 Jun hingga 3 Julai. Foto Facebook BINTANG GOMBAK FC
Pemain Bintang Gombak FC meraikan jaringan menentang Asiop Merah dalam aksi suku akhir Piala Antarabangsa Garuda di Jakarta, Indonesia. Kejohanan berlangsung pada 30 Jun hingga 3 Julai. Foto Facebook BINTANG GOMBAK FC
AGENSISELANGOR

Layak suku akhir di Indonesia, Bintang Gombak FC muncul lapan pasukan terbaik

SHAH ALAM, 5 JULAI: Pengurus pasukan Bintang Gombak FC bawah 17 tahun berpuas hati dengan pencapaian layak ke suku akhir Piala Antarabangsa Garuda di Indonesia baru-baru ini.

Jamil Azaman berkata kejayaan menjadi lapan pasukan terbaik dalam kejohanan pertama di luar negara membuktikan kemampuan pemainnya memberi saingan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata pasukannya akan merangka semula pelan pembangunan dalam memastikan semua pemain yang terdiri daripada pelajar sekolah sekitar Gombak mempunyai peluang ke peringkat lebih tinggi.

“Untuk masa akan datang, kami akan melihat jemputan kejohanan lain di Asia Tenggara bagi menjadikan Bintang Gombak di antara pasukan yang terkenal di peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Barisan pemain Bintang Gombak FC terdiri daripada pelajar sekolah sekitar Gombak. Foto Facebook BINTANG GOMBAK FC

Dalam kejohanan di Bogor, Jakarta pada 30 Jun hingga 3 Julai , anak didik Shahffuwan Hafizi Abdul Jalil mencatat keputusan masing-masing satu menang, seri dan kalah dalam aksi kumpulan C yang melayakkan mereka ke peringkat suku akhir.

Menentang Sulut United FC dari Sulawesi pada perlawanan sulung, Bintang Gombak mengikatnya dengan keputusan 0-0 sebelum mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sekolah Sukan Melaka.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi Bintang Gombak pada perlawanan terakhir kumpulan apabila tewas 0-5 menentang pasukan Indonesia bawah 17 tahun.

Dalam aksi suku akhir, pasukan itu memberi tentangan sengit kepada pasukan tuan rumah, Asiop Merah sebelum tewas 1-2.


Pengarang :