Petugas kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Alor Gajah pada 28 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Melaka menurun kepada 170 orang

MELAKA, 28 OKT: Jumlah mangsa banjir di dua daerah di Melaka menurun kepada 170 orang membabitkan 50 keluarga setakat jam 4 petang ini berbanding 250 orang daripada 66 keluarga pada jam 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, dalam kenyataan, memaklumkan seramai 93 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Alor Gajah iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan dan Balai Raya Kampung Gadek.

Menurut jawatankuasa itu, seramai 77 mangsa membabitkan 16 keluarga di daerah Melaka Tengah masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Krubong.

Antara kawasan terjejas banjir di Alor Gajah adalah Kampung Gadek, Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Beringin dan Kampung Pulau manakala di Melaka Tengah membabitkan Kampung Lanjut Manis.

– BERNAMA


Pengarang :