Selangor dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Sukan Elektronik (e-Sukan) sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 peringkat kebangsaan di Dewan Auditorium Cempaka Sari, Putrajaya pada 8 Oktober 2022. Foto Facebook Malaysia Esports Federation
AGENDASUKANKINI

Selangor muncul juara keseluruhan kejohanan e-sukan kebangsaan

PUTRAJAYA, 8 OKT: Selangor dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Sukan Elektronik (e-Sukan) sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 peringkat kebangsaan selepas menjuarai Mobile Legend Bang Bang (MLBB) dan PUBG Mobile pada hari terakhir saingan di Dewan Auditorium Cempaka Sari di sini, hari ini.

Dalam saingan MLBB, Selangor menewaskan Kelantan yang terpaksa berpuas hati sebagai naib johan sementara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tempat ketiga.

Penguasaan Selangor diteruskan dalam saingan PUBG Mobile apabila mereka sukar digugat Pahang selaku naib juara manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meraih tempat ketiga.

Kejohanan E-Sukan HSN 2022 turut menampilkan kelainan apabila mempertandingkan acara futsal yang dimenangi Terengganu sementara Perlis dan Pahang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Pencapaian Terengganu itu membolehkan mereka muncul naib juara keseluruhan dan tempat ketiga kategori itu menjadi milik Perlis.

Kesemua pemenang tempat kedua dan ketiga menerima hadiah wang tunai dan pingat sementara juara membawa pulang wang tunai, pingat dan trofi kejuaraan.

“Sangat berpuas hati (penganjuran kejohanan) kerana melihatkan kita ambil semangat kesukanan yang digariskan kerajaan. Terima kasih juga kepada kerajaan kerana elemen e-sukan tidak diketepikan.

“Kita telah capai sasaran penyertaan keseluruhan 20,000 orang bagi Kejohanan e-Sukan HSN di mana 15,000 penyertaan sahaja dari peringkat negeri,”kata Setiausaha Agung Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Mohamad Nazri Abdul Latiff.

Kejohanan e-Sukan HSN 2022 peringkat daerah dan negeri bermula dari 7 hingga 15 September lepas sebelum seramai lebih kurang 220 peserta dari 15 negeri layak ke peringkat akhir.

Kejohanan e-Sukan HSN 2022 merupakan kejohanan siri keempat yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara bersama MESF.
– BERNAMA


Pengarang :