Orang ramai menghadiri melawat ke reruai pameran Selangor R&D and Innovation sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Guru dapatkan bahan mengajar di SIBS, kongsi dengan anak murid

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Pasangan guru menjadikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 sebagai wadah mencari input untuk pembelajaran anak muridnya.

Hassanul Iqbal Nawawi, 26, dan isteri Khairunnisa Yusri,25, berkata mereka meninjau semua enam acara utama persidangan bagi mendapatkan bahan tambahan mengajar.

“Apabila datang sini banyak perkara baharu saya pelajari. Dari aspek inovasi, pendigitalan serta pembangunan terutama di Selangor.

Pengunjung Hassanul Iqbal Nawawi

“Semua input yang diterima hari ini terutama aspek makanan dan minuman akan dikongsi dengan anak murid. Harap usaha ini bantu mengembangkan ilmu dan pengetahuan mereka,” katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda dekat sini.

Sementara itu, eksekutif kanan syarikat swasta berkata hasil pemerhatiannya di SIBS, beliau yakin produk makanan dan minuman diusahakan peniaga tempatan berpotensi menembusi pasaran luar negara.

“Makanan telah banyak diinovasikan dan menjadi lebih menarik. Jika dibantu, peniaga boleh mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih jauh.

“Persidangan ini usaha yang bagus dalam membantu peniaga tempatan. Bidang teknologi juga menarik dan boleh membantu negara,” kata Suria Natalia Abdullah,27.

Pengunjung Suria Natalia Abdullah

SIBS berlangsung mulai Khamis hingga hari ini menyasarkan 30,000 pengunjung dan setakat dua hari penganjurannya sejumlah RM1.12 bilion nilai transaksi berjaya diperoleh.

Tahun ini persidangan menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.

Progam Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia turut diketengahkan.


Pengarang :