Penganut Hindu melakukan upacara keagamaan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) sempena perayaan Thaipusam ketika tinjauan di Kuil Arulmigu Sri Maha Mariamman, Seksyen 23, Shah Alam pada 18 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

60 kuil terima bantuan baik pulih infrastruktur, babit kos RM905,000

SHAH ALAM, 12 FEB: Sejumlah RM905,000 peruntukan pengurusan proses baik pulih dan infrastruktur rumah ibadat berkenaan sudah diagihkan kepada 60 kuil di negeri ini.

Pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (Limas) V Ganabatirau berkata agihan bantuan itu diserahkan secara berperingkat kepada wakil kuil bermula minggu lalu.

“Fasa pertama diagihkan ketika sambutan Thaipusam minggu lalu yang mana 45 kuil menerima manfaat dengan jumlah RM650,000. Pada hari ini, sebanyak 15 kuil lagi menerima manfaat sama membabitkan jumlah RM255,000.

“Bantuan rumah ibadat diagihkan secara berperingkat sehingga hujung tahun dan ini bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam bantu baik pulih dan infrastruktur rumah ibadat serta jalankan aktiviti keagamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan perayaan Ponggal peringkat negeri di perkarangan Kuil Sri Swarna Maha Mariamman Alayam Taman Sri Muda di sini, semalam.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM1.8 juta untuk pengurusan kuil bagi membantu proses baik pulih dan infrastruktur rumah ibadat berkenaan.

Pada tahun lalu, Dato’ Teng Chang Khim yang juga jawatankuasa Limas memaklumkan sebanyak RM69.4 juta disalurkan kepada persatuan agama selain Islam sejak 2009 hingga kini.

Jelasnya peruntukan itu dibahagikan mengikut jumlah penganut agama utama di Selangor berdasarkan data populasi yang diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.


Pengarang :