Kumpulan Terakhir Tim Op Starlight ll Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke negara Turkiye yang akan berkhidmat di Hospital Medan Malaysia (HMM) dalam misi bantuan bagi mangsa gempa bumi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Gaziantep pada 12 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kisah kebab, doa rakyat Turkiye iringi misi Op Starlight

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Masih segar dalam ingatan Lt Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh keenakan kebab yang sempat dijamahnya di Turkiye ketika menyertai misi Op Starlight pembinaan Hospital Medan Malaysia (HMM) ke negara berkenaan susulan gempa bumi yang melanda negara itu baru-baru ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata walaupun hanya sekadar kebab, makanan itu antara secebis kisah yang membuat beliau berasa cukup terharu dengan rakyat di Turkiye yang begitu menghargai kehadiran 106 anggota perubatan yang menyertai misi kemanusiaan berkenaan.

Mengimbau peristiwa itu, Dr Zulkeffeli yang baru pulang ke tanah air dua hari lepas berkata ketika itu, beliau dan pasukannya sedang dalam perjalanan dari Gaziantep, antara kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi, ke HMM di Adiyaman dan singgah di sebuah gerai yang menjual kebab.

Katanya, sebaik mengetahui beliau dan pasukannya dari Malaysia, peniaga restoran berkenaan memberikan kebab dan makanan lain, namun enggan menerima wang bayaran walaupun mereka sendiri berada dalam kesusahan akibat gempa bumi yang mengorbankan berpuluh ribu nyawa setakat ini.

“Mereka cuba ucapkan terima kasih dengan apa sahaja cara sekalipun. Rakyat Turkiye mengalu-alukan kehadiran kita. Walaupun sumbangan kita kecil, inisiatif kerajaan hantar pasukan perubatan ini memberi gambaran bahawa kita mampu membantu dalam kesusahan tidak kira sempadan negara,” katanya kepada Bernama.

Bukan itu sahaja, beliau dan pasukannya juga pernah didatangi rombongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Cappadocia, kira-kira 500 kilometer dari Adiyaman yang sanggup datang ke HMM untuk mengucapkan sendiri penghargaan kepada pasukan Malaysia yang terlibat dalam misi berkenaan.

“Malah ketika mula-mula sampai di lapangan terbang Istanbul dan ketika kita ingin menunaikan solat, ada seorang pak cik ini doakan pasukan kita dengan satu doa yang panjang berharap agar misi bantuan kita dipermudah. Ada juga jemaah umrah yang baru balik dari Makkah berikan roti, masya-Allah,” katanya.

Pihaknya turut mendapat bantuan daripada pelbagai NGO dan orang perseorangan yang menawarkan khidmat seperti penterjemah, bantuan petrol untuk set generator, topi khas untuk musim sejuk, makanan dan banyak lagi.

Bagi memudahkan urusan, pihaknya turut bekerjasama dengan pasukan perubatan Turkiye dalam aspek rujukan dan pertukaran maklumat, selain terdapat juga wakil pegawai perubatan dari negara itu di HMM bagi meyakinkan penduduk setempat untuk mendapatkan rawatan di HMM.

“Ada juga NGO yang datang ke kampung-kampung untuk membawa pesakit yang memerlukan rawatan untuk dibawa kepada kita. Kita bertindak sebagai hospital rujukan memandangkan hospital sedia ada berhampiran terjejas akibat gempa,” katanya.

Dr Zulkeffeli turut memuji semua anggota dan pegawai perubatan ATM yang sentiasa menunjukkan semangat juang yang tinggi dengan cabaran seperti cuaca sejuk, tempat tinggal, dan kekurangan pakaian bagi berhadapan cuaca sejuk.

“Saya amat berbangga dengan mereka yang memberikan sepenuh tanggungajawab dan kudrat yang ada untuk membantu mangsa gempa bumi di Turkiye,” katanya.

Semalam, Komander Op Starlight 2 Brig Jen Datuk Dr Amran Amir Hamzah berkata HMM yang beroperasi di Celikhan, Adiyaman terletak kira-kira 152 kilometer (km) dari Gaziantep telah merawat seramai 164 pesakit termasuk ibu mengandung dan kanak-kanak sejak ia dibuka 14 Feb lepas.

HMM berkenaan mempunyai kapasiti 60 katil dan turut dilengkapi kemudahan bilik bedah, unit rawatan rapi (ICU), radiologi dan makmal untuk membantu mangsa gempa bumi di negara itu.

Hospital itu turut menyediakan sembilan kepakaran iaitu perubatan primer, ortopedik, pembedahan, bius, ‘maxilo-facial’ (pembedahan menangani masalah muka, kepala, leher, rahang, sinus), obstetrik dan ginekologi, pediatrik, oftalmologi (rawatan berkaitan mata) dan perubatan kecemasan.

– BERNAMA


Pengarang :