BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Bersederhana sambut raya, tampilkan akal budi, perkukuh ukhuwah

SHAH ALAM 22 APRIL: Aidilfitri sememangnya hari yang sangat istimewa bagi semua umat Islam di segenap lapisan umur setelah menjalani pelbagai kegiatan keagamaan sepanjang Ramadan.

Namun, dalam kegembiraan meraikan hari kemenangan, Dato’ Menteri Besar menerusi perutusan Aidilfitri mengingatkan seluruh umat Islam khususnya di Selangor untuk memperkukuhkan ukhuwah disamping meneruskan kerja baik dengan menyantuni golongan fakir, anak yatim dan insan yang kurang berkemampuan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama tetamu yang menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor di Dataran Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 21 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Berikut perutusan penuh Dato’ Seri Amirudin Shari:

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan.

Ramadan yang berlalu membawa seribu satu makna kepada umat Islam yang taat. Masing-masing mencari Lailatul Qadr dan melaksanakan pelbagai kebajikan dalam mengejar Mardhatillah.

Alhamdulillah saya melihat kemakmuran dan kesederhanaan malam-malam terakhir Ramadan di masjid-masjid seluruh negeri Selangor.

Bagi menyambut kemenangan yang ditandai dengan kepulangan kembali kepada fitrah, yakni maksud sebenar Aidilfitri, marilah kita semua meneruskan kerja baik yang dibajai pada bulan mulia yang lepas seperti menyantuni golongan fakir dan anak yatim serta yang kurang berkemampuan.

Kesederhanaan ini harus kita teruskan dan ditampilkan bukan sahaja melalui tindakan kita, tetapi juga menerusi akal budi dan fikiran kita agar anak-anak kita turut mewarisi budaya dan akhlak yang serupa supaya dapat melahirkan generasi yang bermaruah dan berwawasan.

Manfaatkanlah sepenuhnya silaturrahim dan ukhuwwah yang telah kita bina selama ini seperti yang dianjurkan agama.

Alhamdulillah atas kejayaan prestasi pungutan hasil Kerajaan Negeri sepanjang pentadbiran ini serta dalam tiga bulan pertama tahun ini, saya telah mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2023, yang bukan sahaja memberikan satu bulan gaji kepada penjawat-penjawat awam Negeri Selangor, tetapi juga penjawat-penjawat awam Persekutuan seperti guru, polis dan lain yang berkhidmat di Negeri Selangor turut akan menerima manfaat insentif ini iaitu sebanyak RM200.

Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda semua. Saya memohon ampun dan maaf setulus ikhlas atas sebarang kekurangan yang ada dan berazam untuk terus memberi khidmat yang terbaik buat semua. Taqaballallahu minna wa minkum.

 


Pengarang :