Temu bual bersama nazir wanita Prof Datuk Dr Noor Inayah Ya’akub di Kajang pada 20 Mac 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Nazir wanita pertama giat bangunkan kafe wakaf tawar Menu Rahmah

SHAH ALAM, 7 APRIL: Selepas diangkat wanita pertama menjadi nazir, Prof Datuk Dr Noor Inayah Yaakub terus melaksana beberapa projek melibatkan Masjid Ikram Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Bangi.

Beliau menubuhkan kafe berkonsep wakaf di IUKL iaitu SweetSis Cafe. Kafe sedemikian adalah yang pertama dalam institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Mula beroperasi pada 20 Mac, kafe dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor menawarkan Menu Rahmah berharga RM2.50 hingga RM4.50 bagi satu hidangan.

Selain derma orang ramai melalui tabung Masjid Ikram, kafe itu dibangunkan hasil sumbangan badan korporat.

Selepas mewujudkan SweetSis Cafe, wanita berumur 53 tahun itu menjalankan projek kempen kesedaran mengenai kepentingan wakaf termasuk wakaf tunai bersama nazir masjid lain.

“Saya hendak semua kaum melihat masjid bukan semata-mata membawa ajaran Islam tetapi memberi kefahaman ilmu kepada bukan Islam tentang Islam,” kata Noor Inayah ketika ditemui di Bangi, 20 Mac.

Program itu antaranya majlis berbuka puasa dengan pengisian ilmu bersama masyarakat setempat termasuk orang bukan Islam.

Temu bual bersama nazir wanita Prof Datuk Dr Noor Inayah Ya’akub di Kajang pada 20 Mac 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Ibu seorang anak itu yakin mampu memanfaatkan tempoh perkhidmatan sebagai nazir dengan memberi manfaat kepada masyarakat dan institusi masjid itu sendiri.

Beliau bertekad menjadikan Masjid Ikram sebagai pusat Islam tersohor yang berperanan sebagai penghubung antara universiti, masjid dan masyarakat.

Noor Inayah yang juga pengerusi Lembaga Amanah Raya Trustee menjadi satu-satunya wanita menerima watikah nazir masjid daripada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Pelantikannya disempurnakan DYMM Sultan Selangor dalam Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam masjid seluruh Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah, pada 2 Mac.

Mengikut Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Selangor) 1995, nazir mengetuai pengurusan masjid termasuk memastikan kelancaran mesyuarat dan menandatangani dokumen dan cek.

Penanda aras

Secara tidak langsung, Noor Inayah meletak penanda aras baharu bagi golongan wanita dalam pentadbiran institusi agama di negeri ini.

“Jawatan utama dalam masjid belum pernah disandang wanita. Masa terima watikah, ramai nazir lain bertanya bagaimana dilantik sebab ini benda baharu. Tetapi alhamdullilah mereka sokong.

“Baginda juga ada bertitah semasa istiadat, jika ada masalah di masjid, orang akan cari nazir. Titah Tuanku jadi azimat saya,” katanya.

Anak kelahiran Nibong Tebal, Pulau Pinang itu berpendapat pelantikannya membuktikan Islam tidak menghalang perempuan menjadi pemimpin.

“Apabila terlibat dalam pentadbiran, pengurusan dan pemantauan masjid, saya nampak sokongan diberikan Tuanku. Saya amat menjunjung kasih.

“Saya yakin ahli jawatankuasa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang mengesyorkan nama saya tentunya memahami maqasid syariah,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (kanan) berkenan menyerahkan watikah kepada Presiden dan Naib Canselor Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (UIKL) Prof Datuk Dr Noor Inayah Yaakub (kiri) sempena Istiadat Pengurniaan Watikah Perlantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 2 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mengimbau kembali apabila mendapat tahu dilantik sebagai nazir masjid, penasihat syariah tiga bank serta syarikat takaful ini mengaku gementar.

Presiden dan naib canselor IUKL itu menyedari tanggungjawabnya berat kerana membabitkan institusi umat Islam. Beliau sedar kepimpinan seorang nazir penting bagi memastikan sesebuah masjid terus makmur.

Selain pengalaman 25 tahun dalam pendidikan, wanita itu juga pernah bertugas sebagai peguam bela, peguam cara dan peguam syariah.

Noor Inayah berkelulusan sarjana muda undang-undang dan undang-undang syariah (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), sarjana undang-undang komersial (Universiti Bristol, England) dan doktor falsafah undang-undang (Universiti Manchester, England).

Noor Inayah juga menolak tanggapan kononnya nazir Masjid Ikram hanya jawatan tradisi disandang presiden dan naib canselor IUKL.

“Jawatan nazir Masjid Ikram bukan jawatan tradisi presiden dan naib canselor tetapi di bawah bidang kuasa Mais.

“Kuasa mutlak terletak pada mereka. Kalau mereka tidak setuju, lantikan tidak boleh dibuat walau yang dicadangkan adalah presiden dan naib canselor sekalipun,” katanya.


Pengarang :