Sophia Albarakbah. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

‘Balas dendam’ dua tahun tidak beraya bersama keluarga

Bukan mudah menjadi anak seni. Terpaksa berkorban banyak perkara termasuk sambutan Aidilfitri bersama keluarga.

Itu dihadapi pelakon jelita Sophia Albarakbah. Sudah dua tahun berturut-turut dia tidak beraya bersama orang tua dan adik-beradiknya.

Jadual penggambaran padat sehingga dia hanya mampu mengeluh pada 1 Syawal lantaran sibuk menyiapkan projek drama mahupun filem.

Namun tahun ini berbeza. Tiada penggambaran tatkala musim perayaan. Tentunya mahu membalas dendam terlepas merai lebaran pada 2021 dan 2022 bersama keluarga.

“Raya kali ini lebih seronok. Seperti biasa, sambut raya di Kuala Lumpur. Dua tahun sebelum ini ada penggambaran drama, agak sibuk tetapi raya kali ini tiada drama.

“Cuma ada sedikit pertunjukan fesyen dan berlakon telefilem kejap-kejap sahaja. Jadi tahun ini ada banyak masa terluang dapat habiskan masa dengan keluarga.

“Ibu bapa dan adik-beradik semua ada di sini,” kata pelakon berusia 29 tahun itu kepada Selangorkini di lokasi penggambaran Selalu Ada di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, bulan lalu.

Tangkap layar beberapa babak dalam teaser drama Selalu Ada di Facebook Media Selangor. Drama khas terbitan Kerajaan Selangor sempena Aidilfitri yang dibintangi Sophia Albarakbah (kanan)n dan Erra Fazira  ditayang kepada penonton di saluran TV2 jam 9 malam pada 3 Mei 2023

Pemegang watak Jasmin dalam telefilem Selalu Ada yang disiar di TV2 itu turut meluahkan rasa lega.

Projek berkenaan antara tugasan diselesaikan sebelum menjelang Aidilfitri, sekali gus melapangkan masa untuk dia beraya sepuas-puasnya.

Kata anak kedua daripada empat beradik itu, dia sudah membuat persiapan baju raya sejak sebelum Ramadan.

Lulusan bioteknologi dan dietetik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) memberitahu, dia mahu membuat kek sebagai juadah istimewa raya tahun ini.

“Kuih biasanya beli tetapi Sophia dan adik memang suka buat kek. Jadi, dekat raya kami akan buat kek keju, ‘red velvet’ dan ‘brownies’,” ujarnya.

Sophia dan keluarganya juga mengadakan rumah terbuka. Acara itu digunakan bertanya khabar saudara mara dan rakan-rakan yang berkunjung.

Gadis berdarah kacukan Melayu, Arab dan Cina ini menjelaskan, dia hanya kembali ke set penggambaran selepas raya, membabitkan satu filem dan satu drama.

Mula berlakon

Bercakap mengenai kerjaya, anak kepada bekas peserta Ratu Cantik Malaysia 1980 itu menjadi peragawati dan pelakon ketika masih menuntut.

Sophia Albarakbah. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Bermula watak kecil, antara filem dibintangi Mimaland, Pasal Kau!, Ada Hantu, Jerangkung Dalam Almari dan Ada Hantu 2.

Juga pernah berlakon drama antaranya Suamiku Lelaki Pendosa, Ku Akad Kau Dengan Bismillah, Tercipta Satu Ikatan dan Hadiah Dari Tuhan.

Kerap ditawar watak air mata, antara cabaran terbesar apabila kali pertama memegang peranan heroin drama Suamiku Lelaki Pendosa di samping Datuk Aaron Aziz.

“Semua cerita saya berlakon ada cabarannya tetapi antara paling mencabar adalah masa jadi heroin drama Suamiku Lelaki Pendosa. Ia naskhah agak berat kerana banyak main emosi, banyak menangis.

“Masa itu masih baharu lagi. Jadi untuk dapat emosi agak susah sikit tetapi bila sudah lama, jadi mudah,” katanya.

Walau pernah terbabit kontroversi, namun Sophia bertuah keluarganya sentiasa di samping memberi nasihat.

“Artis memang tidak lari kontroversi. Mula-mula susah sesuaikan diri, tetapi lama-lama belajar kuatkan diri.

“Kena pekakkan telinga bila ada ambil kesempatan sakitkan hati kita, tetapi sekiranya ada beri nasihat membina kita ambil, terima dengan baik,” katanya.

Selain itu, sikap profesional juga membantu Sophia kekal fokus kepada kerja terutama ketika di set penggambaran.

“Macam kontroversi baru-baru ini, masa itu penggambaran belum habis. Saya kena profesional habiskan penggambaran.

“Alhamdulillah sekarang sudah lupakan kontroversi itu dan yang penting ambil iktibar,” katanya lagi.


Pengarang :