Ribuan bakal-bakal haji menghadiri majlis perasmian penutupan kursus perdana haji musim haji bagi tahun 1444H / 2023M peringkat Negeri Selangor di Dewan Solat, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Jemaah haji puji inisiatif negeri beri vaksin pneumokokal percuma, bantu kekal kesihatan

SHAH ALAM, 7 MEI: Pemberian vaksin pneumokokal secara percuma oleh Kerajaan Negeri disifatkan sebagai langkah tepat bagi memastikan kesihatan jemaah haji khususnya warga emas berada dalam keadaan baik.

Pekerja swasta, Faridah Kusnin, 51, berkata beliau bercadang membawa ibunya mendapatkan suntikan vaksin itu dalam masa terdekat bagi memastikan terus sihat sepanjang menunaikan haji.

Faridah Kusnin

“Tetapi apabila Kerajaan Negeri maklumkan beri secara percuma, saya akan cuba daftar menerusi aplikasi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau ke klinik Selcare berhampiran.

“Alhamdulillah urusan dipermudahkan dan sangat gembira apabila dimaklumkan dapat pergi haji pada Ramadan lalu sehari sebelum Aidilfitri,” katanya.

Beliau bekata demikian ketika ditemui Selangorkini pada Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim 1444 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Noorliza kamaruddin bersama suaminya Muhd Aziman Abbas

Sementara itu, peniaga, Noorliza Kamaruddin, 43, mengakui pemberian vaksin itu agak mahal jika diambil di luar dan mereka tidak akan melepaskan peluang mendapatkan vaksin yang diberikan percuma oleh Kerajaan Negeri.

“Difahamkan vaksin ini bagus untuk kesihatan dan Kerajaan Negeri hendak beri secara percuma, Jadi saya tidak akan lepaskan peluang untuk mendapatkannya.

“Usaha Kerajaan Negeri bagus dan membantu jemaah kerana jika di luar mungkin kosnya mencecah hampir RM200 untuk seorang,” katanya.

Semalam, Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam meneruskan Program Vaksin Selangor (Selvax) dengan memberikan 1,500 vaksin pneumokokal percuma khusus kepada jemaah haji negeri ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata pemberian vaksin kepada jemaah haji bertujuan melindungi mereka dan mencegah daripada mendapat jangkitan paru-paru ketika menunaikan ibadah haji.

Jemaah yang tinggal di Shah Alam atau kawasan berdekatan boleh mendapatkan vaksin pneumokokal secara percuma di Klinik Selcare Universiti Selangor (Unisel) bermula 8 Mei sehingga 15 Jun 2023 pada 9 pagi hingga 5 petang.

Tutorial pra-pendaftaran boleh ditonton menerusi pautan: vt.tiktok.com/ZS8KXbUev/ dan sebarang maklumat lanjut boleh hubungi talian hotline Selcare 1-800-22-6600.


Pengarang :