Atlet Karate negara R Sharmendran beraksi menentang atlet dari Kemboja dalam acara akhir Karate Kumite Individu Lelaki 75 kg pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh Kemboja di Chroy Changvar Convention Center pada 7 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Karate sumbang dua lagi pingat emas, lepasi sasaran ditetapkan

PHNOM PENH, 7 MEI: Karate terus menceriakan kem kontinjen negara di Sukan SEA 2023 selepas dua lagi pingat emas berjaya dituai di Pusat Konvensyen Chroy Changvar di sini, hari ini.

Emas pertama pada hari kedua saingan disumbangkan atlet muda H Sureeya Sankar dalam acara kumite individu lelaki bawah 60 kilogram (kg) selepas mudah menumbangkan juara bertahan dari Indonesia Ari Saputra 13-5.

Kejayaan itu menyaksikan atlet kelahiran Kuala Lumpur berusia 21 tahun itu meraih emas keduanya di pentas Sukan SEA selepas muncul juara bawah 67kg pada edisi lepas di Hanoi, Vietnam tahun lalu.

Momentum itu diteruskan jaguh karate dan pembawa Jalur Gemilang R Sharmendran yang terpaksa bekerja keras sebelum mengesahkan emas acara kumite individu lelaki bawah 75 kg dengan menewaskan atlet Kemboja Sot Phanith 6-5.

Ia merupakan emas keempat berturut-turut Sharmendran dalam kategori bawah 75 kg selepas edisi 2017 di Kuala Lumpur; edisi 2019 di Manila, Filipina dan edisi 2021 di Hanoi.

Pencapaian hari ini menjadikan jumlah keseluruhan empat emas berjaya dikumpul kem karate sekali gus melepasi sasaran tiga emas yang ditetapkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF).

Semalam, dua emas disumbangkan juara bertahan C Shahmalarani dalam acara kumite wanita bawah 50 kg dan S Prem Kumar dalam acara kumite lelaki bawah 55kg.

– BERNAMA


Pengarang :