Penduduk membeli barangan keperluan asas yang dijual pada harga murah di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Fasa 2 Puncak Alam pada 8 Mei 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah jimat belanja, ringankan beban rakyat selepas raya

KUALA SELANGOR, 8 MEI: Program jualan barangan asas murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membantu meringankan beban kewangan rakyat selepas sambutan hari raya.

Suri rumah Nur Hidayah Abdullah, 42, berkata keputusan Kerajaan Negeri menyambung semula program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) selepas Aidilfitri melegakannya untuk membeli keperluan harian.

Nur Hidayah Abdullah

“Jualan ini benar-benar meringankan beban kami sekeluarga. Apa yang saya beli ini cukup untuk sebulan. Jika beli di pasar raya, tidak dapat harga semurah ini,” katanya ketika ditemui.

Pekerja swasta Ahmad Ikhwan Syafiq Ahmad Nazrul, 24, yang pertama kali menyertai jualan tersebut mengakui terkejut semua barangan disediakan dijual pada harga lebih murah.

“Ini pertama kali saya datang selepas dimaklumkan rakan-rakan. Terkejut juga lihat harganya yang murah. Saya beli barangan ini untuk keluarga, syukur dapat sedikit penjimatan,” katanya.

Mereka berdua antara ratusan penduduk yang mengunjungi program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Fasa 2 Puncak Alam di sini hari ini.

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas dan diteruskan sehingga bulan ini.

Produk dijual meliputi ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :