Pengunjung membeli barangan asas yang dijual murah pada program Jelajah Ehsan Rakyat Dewan Undangan Negeri di Taman Templer pada 23 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 15 kali kunjungi jualan murah, pengunjung akui berbaloi beli barangan dapur

Oleh DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 23 MEI: Aku berbaloi dan dapat berjimat, seorang tukang jahit sudah lebih 15 kali mengunjungi Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dimerata tempat bagi membeli barang keperluan asas pada harga murah.

Salina Hitam, 56, berkata beliau bertolak seawal 7.00 pagi dari rumahnya di Greenwood ke jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, di sini.

“Saya bersyukur Kerajaan Negeri amat prihatin dengan adakan program jualan murah untuk ringankan beban rakyat namun saya harap kuantiti belian ditambah.

“Saya harap sekurang-kurangnya boleh beli dua ekor ayam kerana ada sesetengah tempat hadkan seekor ayam bagi setiap pengunjung. Seekor ayam tak cukup untuk keluarga besar,” katanya ketika ditemui di Apartment Merak Taman Bukit Idaman, Batu Caves di sini hari ini.

Manakala, pemandu lori Vijay Kumar Ganesan 47, teruja kerana kali pertama berpeluang mengunjungi jualan murah itu selepas beberapa kali tidak berkesempatan ekoran waktu tugasnya yang tidak menentu.

“Saya baru berkesempatan datang walaupun sudah empat kali jualan murah diadakan di kawasan ini kerana jadual kerja tidak menentu. Kebetulan hari ini saya kerja malam jadi selepas hantar anak ke sekolah saya singgah untuk beli barang keperluan.

“Saya harap program ini diteruskan kerana banyak membantu rakyat yang terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup dan barang keperluan,” katanya.

Ganesan turut berpendapat program jualan murah kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor perlu menambah kuantiti barang terutamanya barangan yang mendapat permintaan tinggi seperti ayam atau sepapan telur

Sementara suri rumah Cindy Chai, 58, pula sentiasa menanti jualan murah kerana mahu berjimat memandangkan bagi menampung kos penjagaan anaknya yang mengalami kecacatan otak.

“Memang lega ada jualan murah kerana dapat berjimat kerana barang makanan mahal ketika ini. Saya tiada pendapatan hanya mengharapkan wang simpanan selain elaun bulanan anak kurang upaya (OKU).

“Namun saya harap waktu jualan dimulakan pada 9 pagi berbanding 10 pagi terutama pada musim panas. Program diadakan di tempat terbuka saya bimbang berdepan risiko kesihatan seperti diserang strok haba,” katanya.

PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :