Aksi atlet karate wanita negara C Shahmalarani (kiri) dalam acara Karate Kumite wanita menentang atlet dari Filipina pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh Kemboja di Chroy Changvar Convention Center pada 6 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Pingat emas pertama Malaysia cetus semangat

PHNOM PENH, 6 MEI: Tenang, namun penuh keazaman. Begitulah caranya pemenang sulung pingat emas Malaysia di Sukan SEA 2023 di sini, C Shahmalarani, mengungguli acara bawah 50 kilogram (kg) kumite wanita.

Kejayaan itu sekali gus menebus kekalahan kepada lawannya itu, Junna Tsuki, ketika tewas 1-5 dalam final Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) di Phnom Penh, Mac lalu.

“Saya tidak bermula dengan baik tetapi jurulatih saya Tamel Adbelraof berpendapat atlet Filipina itu belum betul-betul bersedia dan minta saya manfaatkan ruang yang ada dan akhirnya saya berjaya mengikat kedudukan 1-1.

“Selepas 1-1, saya sangat yakin akan menang kerana daripada situ saya mula mengawal perlawanan,” katanya.

Berbekalkan aksi yang lebih agresif sepanjang pertarungan dengan atlet berketurunan Filipina-Jepun itu, Shahmalarani dinobatkan sebagai juara, justeru mempertahankan pingat emasnya dalam acara yang diadakan di Chroy Changvar Convention Centre itu.

Pemenang pingat emas karate lelaki negara S Prem Kumar (kanan) dan pemenang pingat emas karate wanita negara C Shahmalarani (kiri) menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh, Kemboja di Chroy Changvar Convention Center pada 6 Mei 2023. Foto BERNAMA

Sementara itu, S Prem Kumar, yang merangkul emas kedua Malaysia hanya selang beberapa minit selepas Shahmalarani dalam acara bawah 55 kg kumite lelaki, tidak mahu terlalu terbuai dengan pencapaian hari ini.

Prem Kumar berkata misinya masih jauh, dengan fokus dan sasarannya pada acara berpasukan di sini serta Sukan Asia yang akan diadakan di Hangzhou, China pada September.

“Saya gembira berjaya dapat dua mata penting apabila saya terus menyerang lawan beberapa saat sebelum perlawanan tamat setelah ketinggalan 1-3. Usaha saya akhirnya berbaloi,” katanya.

Meskipun berkongsi mata 3-3 dengan atlet Thailand Chanphet Setthaphong, emas menjadi miliknya selepas beliau meraih mata pertama dalam pertarungan akhir.

– BERNAMA


Pengarang :