Syafie Naswip ketika sambutan Aidilfitri pada 22 April 2023. Foto Instagram Syafie Naswip
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Tiada baju baharu, Syafie kenang Aidilfitri serba kurang sewaktu kecil

Setiap kali menjelang Syawal, pelakon Syafie Naswip pasti terkenang zaman kanak-kanaknya yang perit.

Pemilik nama sebenar Mohammad Syafie Naswip, 31, mengimbau waktu kecil, dia merai lebaran serba kekurangan.

Persiapan raya ala kadar. Baju raya baharu tiada kerana keluarga bukan orang senang.

Meski sedih keadaan itu, pelakon filem Mukhsin itu tetap bersyukur didampingi keluarga pada pagi Syawal. Padanya itu anugerah cukup indah.

“Masa itu zaman tak berapa nak ada (wang), mahu beli baju raya pun susah sebab ibu bapa bukan orang senang.

“Teringin juga pakai baju baharu macam kawan lain tetapi saya sedar kesempitan hidup, maka kemahuan itu terpaksa saya ketepikan,” imbaunya.

Hanya selepas terjun ke dunia lakonan pada usia 14 tahun, Syafie mengaku kehidupannya berubah perlahan-lahan.

Syafie dan adiknya, Sapawi Naswip ketika sambutan Aidilfitri pada 13 Mei 2021. Foto Instagram Syafie Naswip

Dinobat pelakon kanak-kanak terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) pada 2007 menerusi Mukhsin, filem itu meledakkan namanya.

Tahun sama, Syafie meraih pelakon lelaki terbaik menerusi Ilham Suci pada Anugerah Skrin ke-11.

Kini, Syafie selesa dengan pendapatan anak seni. Sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan keluarga.

“Bila sudah dewasa dan berkerjaya, rasa manisnya ada duit sendiri. Mampu beli apa sahaja dan kongsi bersama keluarga, lagi-lagi dekat raya.

“Alhamdulillah, rasa puas sebab guna hasil titik peluh sendiri. Tetapi itu tidak semestinya saya lupa kenangan waktu kecil dulu,” katanya.

Masak sendiri

Saban tahun, menjadi kemestian anak sulung dua beradik ini memasak juadah raya. Lazimnya, malam raya Syafie bersama adiknya Sapawi Naswip menyiapkan rendang ayam lada hitam, lontong goreng tomyam, roti jala dan kuah kacang resipi sendiri.

Ibu bapa mereka pula mengemas rumah. Syafie seronok merasai pengalaman beraya sedemikian dengan ahli keluarganya.

“Jika emak orang lain sibuk di dapur, di rumah kami berbeza. Saya dan adik tidak akan benarkan emak masuk dapur.

“Tidak pelik pun memandangkan sejak darjah enam lagi saya sudah biasa tolong ibu masak macam-macam juadah,” katanya.

Anak kelahiran Gombak itu berkata, persiapan raya biasanya ringkas tetapi meriah dengan saudara-mara dan rakan.

“Jujurnya persiapan raya biasa sahaja walau sudah jadi artis. Paling seronok sebab semua ada di rumah termasuk kawan-kawan.

“Kawan-kawan yang tiada apa-apa pertalian dengan keluarga pun datang. Sekali mereka datang, mereka akan jadi sebahagian daripada keluarga kami,” katanya.

Drama Selalu Ada terbitan Kerajaan Selangor menggandingkan Syafie Naswip, Sophia Al Barakhbah dan Zarul Imran, yang menjalani penggambaran di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13, Shah Alam pada 4 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Raya juga dimanfaatkan Syafie untuk berkunjung ke rumah teman-teman lamanya hinggakan pernah suatu ketika terlupa pulang ke rumah sendiri.

“Saya akan cari kawan-kawan lama untuk beraya. Kalau duduk di satu-satu rumah memang lama, kadang sampai tuan rumah tertanya-tanya bila nak balik,” katanya.

Syawal tahun ini, Syafie tampil dengan telefilem raya berjudul Selalu Ada. Drama 45 minit terbitan Kerajaan Selangor itu memaparkan kisah tiga sahabat karib membawa haluan selepas tamat sekolah.

Menemui penonton pada 3 Mei jam 9 malam di TV2 dan Youtube SelangorTV, drama arahan Che Mie itu turut dibintangi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta Erra Fazira.


Pengarang :