Lebih 18,000 umat Islam menghadiri Majlis Ilmu MADANI Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Putra, Putrajaya pada 26 Mei 2023. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Cahaya syiar Islam, makin ramai minat dalami ilmu di masjid

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Bagi menyalakan cahaya syiar agama di masjid dan surau, Selangor menyediakan dana yang besar kepada barisan imam dan penggerak institusi terpenting umat Islam itu.

Seramai 782 orang imam menerima elaun RM1,300 sebulan setiap seorang, sementara bilal 1 dan 2 masing-masing menerima RM290 dan RM200 seorang. Siak 1 dan 2 pula mendapat elaun RM240 dan RM150 seorang.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memperuntuk dana RM11.7 juta setahun, termasuk RM7.6 juta daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), untuk imam 1 dan 2.

Untuk 782 orang bilal, jabatan tersebut menyediakan peruntukan RM2.2 juta, manakala dana untuk siak pula RM1.7 juta.

Keseluruhannya, elaun untuk imam dan penggerak masjid termasuk nazir, timbalannya, setiausaha dan bendahari berjumlah RM18.1 juta setahun.

Jumlah ini tidak termasuk RM972,400 kepada penolong setiausaha, penolong bendahari, sembilan ahli jawatankuasa (AJK) dan dua pemeriksa kira-kira yang disumbang Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Sementara sumbangan agensi agama seperti Jakim dan LZS untuk menampung elaun pegawai dan jawatankuasa masjid bernilai RM19.1 juta setahun.

Perbelanjaan ini untuk 436 masjid yang dipecahkan kepada enam kategori: kariah (375 buah), institusi (17), naik taraf (26), diraja (lapan), daerah (sembilan) dan negeri (sebuah).

Dengan jumlah besar ini, pengarah Jais menafikan perkembangan Islam “malap” seperti tohmahan pihak tertentu.

“Ada yang menyebut malap. Kalau kita balik kepada prinsipnya, (tohmahan) itu tidak betul. Kalau sebut malap, itu tidak betul. Apatah lagi kalau menyebut malap itu (diukur dengan) kehadiran ramai,” kata Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad kepada Selangorkini pada 23 Jun.

Beliau juga menegaskan pentingnya masjid dan surau dijadikan tempat perpaduan umat Islam dan jauh daripada persengketaan termasuk politik kepartian.

“Dalam khutbah Jumaat kedua, kita minta kepada Allah jadikan masjid dan surau ini tempat yang menyatukan ummah. Saya masuk (Jais), saya ubah (masukkan perkara itu dalam) khutbah itu,” jelasnya, yang memimpin jabatan itu mulai September 2019.

Lebih 500 pelajar lepasan Universiti Islam Timur Tengah menghadiri program Himpunan Ilmuwan Muda Timur Tengah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shha Alam pada 24 Mei 2023. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ilmu yang benar

“Tetapi kalaulah satu-satunya pusat komuniti Islam di kariah ini bergaduh, berperang, bagaimana hendak menterjemahkan isu kesatuan di peringkat negeri? Apatah lagi (perpaduan) di peringkat persekutuan?”

Mohd Shahzihan bagaimanapun menyedari hidup bermasyarakat tidak lekang daripada perbezaan pandangan tetapi tidak seharusnya menjadi medan pergaduhan.

“Dalam Islam, di masjid dan surau, perbezaan memang perlu ada. Perbezaan di kalangan pegawai, contohnya, boleh menghasilkan keputusan-keputusan yang lebih bernas.

“Tetapi (sebahagian umat Islam) tidak begitu. Berbeza sahaja, bergaduh dan menggunakan masjid untuk menyatakan pendirian (tertentu). Masjid itu mesti menjadi pusat pengetahuan ilmu Islam, bukan pusat berpolitik,” katanya.

Namun beliau melihat perkembangan di Selangor bertambah baik apabila semakin ramai minat mendalami ilmu di masjid dan surau.

“Tetapi sekarang sudah nampak, alhamdulillah, rakyat semakin bijak untuk memilih ilmu yang benar. Tok guru-tok guru pondok ini mengajar orang beramal dan bercer

 

ita tentang Islam yang benar.

“Langsung tidak pernah menyindir soal-soal politik semasa. (Mereka) tidak pernah memberi pendirian soal-soal politik semasa (di masjid dan surau),” katanya.


Pengarang :