Antara aksi peserta dalam kejohanan basikal lasak Cabaran XCO AU2 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 24 Jun 2023. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

100 individu termasuk atlet Sukma sertai kejohanan basikal lasak MPAJ

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

SHAH ALAM, 29 JUN: Seramai 100 peserta menguji kemampuan dalam kejohanan basikal lasak Cabaran XCO AU2 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 24 Jun lalu.

Kejohanan anjuran bersama MPAJ dan Fun D Cycle Point bertempat di trek Mountain Bike (MTB) AU2, Taman Keramat itu diadakan demi menyokong minat peserta dalam sukan basikal lasak.

Menurut kenyataan bahagian perhubungan awam dan sekretariat MPAJ kejohanan tersebut juga sebagai salah satu platform untuk atlet sukan basikal lasak terus mengasah bakat mereka.

“Kejohanan ini juga diadakan untuk mempelbagaikan aktiviti kesihatan anjuran pihak majlis pada masa yang sama mengoptimumkan kemudahan trek MTB yang telah disediakan.

“Kejohanan kali ini mendapat perhatian ramai atlet Sukan Malaysia (SUKMA) sekali gus menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk terus melahirkan lebih ramai pelapis sukan negara khususnya dalam sukan basikal lasak,” kata kenyataan itu.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan dan setiap pemenang tempat pertama hingga kelima menerima hadiah wang tunai antara RM10 hingga RM500.

Dalam acara itu, johan bagi kategori lelaki bawah 12 tahun dimenangi Afiq Zafran manakala bagi kategori wanita bawah 12 tahun, Lelaki Bawah 15 tahun dan Lelaki Bawah 18 tahun masing-masing dimenangi Fariha Afina (MSN Terengganu); Daeing Rauzan Putra (Singapura) dan Sheikh Harith (Awey Pedal Team).

Bagi kategori Lelaki Master A dimenangi Muhd Zukri Mohd Tahir (Awey Padel Speed Factory) diikuti kategori Lelaki Master B, Wanita Terbuka (Elite) dan Lelaki Terbuka (Elite) masing-masing dijuarai Muhd Edham (Amaniz); Nur Assyira Zainal dan Riyadh Hakim Lukman (Singapura).

 


Pengarang :