Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis apresiasi guru Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 21 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB seru guru sedia depani cabaran, adaptasi perubahan dunia pendidikan

SHAH ALAM, 21 JUN: Dato’ Menteri Besar menyeru semua guru di sekolah negeri ini sentiasa bersedia mendepani perubahan semasa dunia pendidikan yang kian mencabar.

Mengakui pelajar sekolah lebih pantas menerima perubahan semasa, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata guru juga harus bergerak seiring bagi mengelak ketinggalan.

“Guru harus menggunakan perubahan yang berlaku termasuk daripada segi alatan mengajar, komunikasi, perhubungan dan perkembangan kebudayaan.

“Kalau berpisahnya guru dan murid daripada aspek tersebut, ia akan menjarakkan lagi (jurang) antara mereka sekali gus menyukarkan proses pembelajaran.

“Justeru, adaptasi terhadap perubahan itu sangat penting kepada guru,” katanya ditemui selepas majlis apresiasi guru Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak di kediaman rasminya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau dalam ucapannya memaklumkan Selangor antara negeri yang memiliki ekosistem pendidikan hampir lengkap dari pendidikan sekolah rendah hingga pendidikan ketiga.

“Kita ada institusi sekolah rendah, menengah, pendidikan ketiga sama ada Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau universiti awam seperti Universiti Selangor serta Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

“Kita berusaha perkasa pendidikan dari peringkat awal. Kita juga menumpukan pendidikan khas untuk anak kurang upaya (OKU) kerana mereka mempunyai dimensi berbeza seperti autisme dan sindrom down. Namun mungkin kita kurang prasekolah dan kita akan lihat bagaimana untuk tangani,” katanya lagi.


Pengarang :