Peserta menghadiri temu duga program Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Taman Gemilang Dengkil, Sepang pada 14 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah kerja siri kedua bermula 26 Ogos di Petaling

SHAH ALAM,16 OGOS: Jelajah JobCare siri kedua anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) yang dijadual semula pada 26 Ogos akan bermula di daerah Petaling.

Ketua Penyelarasnya Vijayan Subramaniam memaklumkan siri pencarian pekerjaan itu menampilkan 20 syarikat daripada pelbagai sektor untuk rakyat Selangor.

“Siri kedua ini diteruskan susulan mendapat maklum balas positif daripada orang ramai dan dijadual menjelajah ke sembilan daerah. Kita rancang 22 Julai tetapi ditunda berikutan pilihan raya negeri.

“Oleh itu, jelajah bermula 26 Ogos ini dan kita akan membantu supaya mereka yang menghantar resume mendapat pekerjaan dengan bantuan syarikat terlibat,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Vijayan memaklumkan UPPS akan menganjurkan kursus penunggangan berhemah Sabtu ini di Safety Driving Centre, Petaling Jaya yang disertai 100 pekerja p-panggilan.

“Tujuan kita anjurkan kursus ini kerana mendapati banyak kemalangan berlaku membabitkan penunggang motosikal. Kita mahu beri kesedaran pentingnya menjaga keselamatan di jalan raya.

“Dengan adanya kursus ini, penunggang motosikal lebih berhati-hati sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal,” katanya.


Pengarang :