EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan Mohd Najwan Halimi berucap pada majlis penyerahan tugas portfolio Belia dan Sukan di Majlis Sukan Negeri Selangor, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 24 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Atlet Selangor menang pingat Sukan Asia terima ganjaran wang tunai

SHAH ALAM, 4 OKT: Ganjaran wang tunai menanti atlet Selangor yang berjaya menyumbang pingat pada temasya Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata atlet yang merangkul emas bakal memperoleh insentif RM10,000, perak (RM7,000) dan gangsa (RM5,000).

“Ganjaran ini untuk mengiktiraf kejayaan atlet Selangor yang mengharumkan nama negara. Pada temasya sukan ini, seramai 38 atlet Selangor mewakili negara untuk beberapa jenis sukan.

“Masih ada beberapa atlet belum bertanding dan kita harap ada pertambahan pingat. Setakat ini tiga atlet Selangor berjaya memenangi pingat. Kita akan buat majlis khusus meraikan mereka,” katanya kepada Selangorkini.

Setakat hari ini, tiga atlet Selangor menyumbang pingat gangsa Sukan Asia iaitu Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (olahraga 4×100 wanita), Addeen Idrakie dan Yuen Chee Wern (skuasy berpasukan lelaki) serta Muhammad Fadhil Mohd Zonis (berbasikal trek pecut berpasukan lelaki).

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi bangga dengan pencapaian atlet negeri ini di Sukan Asia.

“Kita yakin ada atlet yang masih berpeluang menyumbang pingat untuk negara antaranya M Thinaah menerusi acara beregu badminton termasuk beberapa atlet lagi yang belum bertanding.

“Semoga lebih banyak pingat diraih terutama emas sebelum temasya berprestij ini melabuhkan tirai pada 8 Oktober,” katanya.

Malaysia menyasarkan 27 pingat menerusi 13 jenis sukan pada temasya Sukan Asia yang bermula 23 September hingga 8 Oktober.

Setakat 10 malam tadi, Malaysia berada pada kedudukan ke-15 dengan kutipan tiga emas, perak (empat) dan gangsa (16).


Pengarang :