Rumah di Kampung Jamari, Mersing dinaiki air susulan hujan berterusan ketika tinjauan pada 29 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Baru empat hari balik rumah, penduduk terpaksa kembali ke PPS

MERSING, 13 JAN: Baru kira-kira empat hari pulang ke rumah, penduduk Kampung Air Papan Tengah di sini terpaksa berpindah semula ke pusat pemindahan sementara (PPS) semalam susulan kediaman mereka sekali lagi dilanda banjir.

Amran Saliman, 64, berkata dia dan keluarga berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan pada 11 pagi semalam selepas air mula masuk ke bahagian dapur rumahnya dan naik dengan cepat hingga ke paras paha berikutan air pasang serta hujan lebat.

Bapa empat anak itu berkata belum sempat menarik nafas lega dapat pulang ke rumah, sekali lagi mereka sekeluarga terpaksa berdepan saat getir meredah banjir untuk menyelamatkan diri.

“Baru Ahad lepas pulang ke rumah, kini terpaksa kembali semula ke PPS, penat pun belum hilang. Banjir kali ini lebih teruk mungkin kerana faktor air pasang besar dan hujan lebat berterusan yang meningkatkan lagi paras air.

“Syukur barang berharga dan dokumen penting sempat diselamatkan. Sesekali saya balik sekejap ke rumah untuk pastikan barangan yang ditinggalkan selamat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Siti Suhaida Ariffin, 25, dari Kampung Tenglu pula berkata banjir kali ini merupakan yang terburuk kerana air naik lebih tinggi dan cepat.

“Memang setiap tahun kami berdepan banjir tetapi hanya setakat buku lali berbanding kali ini hingga paras pinggang. Saya sekeluarga tidak sempat berbuat apa-apa apabila air naik dengan deras pada kira-kira 10 pagi, hanya fikir untuk selamatkan nyawa sahaja.

“Banyak barangan di rumah tidak sempat untuk diletakkan ke tempat tinggi termasuk sofa, pakaian, mesin basuh, peti ais dan televisyen kerana banjir datang mengejut,” katanya yang berlindung di PPS SK Tenglu di sini sejak semalam.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mersing Kapten (PA) Nurnajibah Abdullah menasihati penduduk agar berwaspada terutama ketika air pasang besar yang dijangka berlaku hingga Isnin ini dan jika hujan lebat berterusan.

“Kita mohon agar orang ramai lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Pada masa sama utamakan keselamatan diri dan keluarga serta patuhi arahan agensi berkaitan sekiranya diarahkan untuk berpindah, di samping sediakan beg ‘ready to go’ sebagai persiapan awal terutama bagi yang tinggal di kawasan berisiko,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata kerajaan Johor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bersiap siaga dengan penyediaan pam di setiap daerah yang terlibat berikutan amaran cuaca buruk dan air pasang besar.

Setakat 11 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Johor sebanyak 4,964 orang yang berlindung di 34 PPS di Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat, Johor Bahru dan Batu Pahat.

-BERNAMA


Pengarang :