BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ashabul Kahfi: Perbezaan pandangan ulama dan kepentingan pengajaran

Tujuan utama membaca al-Quran untuk dihayati dan diamalkan pengajaran daripada sesuatu ayatnya sama ada yang berbentuk kisah, perumpamaan, sumpah dan sebagainya.

Al-Quran tidak meminta kita mengkaji secara terperinci tentang perkara yang didiamkan oleh al-Quran. Banyak sekali perkara yang didiamkan termasuklah siapakah Ashabul Kahfi yang disebut dalam surah al-Kahf.

Kata Imam Ibn ‘Abdil Salam dalam Majaz al-Quran:

“Tujuan penafsiran al-Quran adalah untuk mencapai objektifnya yang membawa manfaat bagi hal-hal keagamaan. Sementara itu mengetahui secara terperinci berkenaan bahagian anggota yang dipukul (kisah al-Baqarah: 73), tentang kampung yang diperintahkan agar dimasuki oleh Bani Israel (al-Baqarah:58), siapa yang disamakan rupanya dengan Nabi Isa kemudian disalibkan (al-Nisa’: 157), dan jumlah pengikut Firaun ketika mengikut Nabi Musa; semua ini ialah perkara-perkara yang tidak menjadi keperluan atau kepentingan untuk diketahui.”

Justeru, fokus seseorang muslim membaca al-Quran ialah pengajaran daripada semua ayat. Mengkaji perkara yang didiamkan tidak salah, asal pengajaran yang dibawa dihayati kerana itulah tujuannya diturunkan.

Salah satu isu berkaitan perkara yang didiamkan ialah adakah Ashabul Kahfi pengikut ajaran Nabi Isa? Para ulama berbeza pandangan tentang hal ini:

Pandangan pertama menyebut ia berlaku sebelum zaman Nabi Isa AS. Alasannya, soalan tentang Ashabul Kahfi ditanya agamawan Yahudi. Mereka hanya bertanya tentang kelompok mereka dan tidak bertanya tentang Kristian kerana permusuhan antara mereka dengan ajaran Kristian.

Bawa anjing

Menurut seorang ulama tabiin terkenal, Wahb Munabbih:

“Mereka ialah pemuda dari Rom yang masuk ke gua sebelum kelahiran Nabi Isa. Setelah baginda diutuskan, baginda menyebut kisah mereka. Kemudian Allah membangunkan pemuda-pemuda itu dari tidur panjang mereka di antara zaman al-Masih dan Nabi Muhammad SAW.” (al-Ma’arif, Imam Ibn Qutaybah)

Imam Ibn Kathir berpandangan peristiwa itu berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa. Alasannya, soalan itu daripada kelompok Yahudi sebagaimana asbab penurunan ayat surah al-Kahf itu.

Kelompok Yahudi tidak mengambil berat tentang Kristian kerana perbezaan antara Yahudi dan Kristian. Namun, Ibn Kathir turut menukil pandangan ulama yang menyebut Ashabul Kahfi sebagai penganut ajaran Nabi Isa.

Imam Ibn ‘Ashur juga menyebut kecenderungannya bahawa peristiwa itu berlaku sebelum ajaran Nabi Isa mengambil kira hujah sebab penurunan ayat itu. Ibn ‘Ashur menyebut di Tunisia ada gua yang menjadi tempat persembunyian orang Yahudi yang ditindas Rom Carthage berdasarkan kajian beberapa pendeta Kristian di sana.

Ibn ‘Ashur juga menyebut gua menjadi pilihan golongan Kristian yang ditindas dan turut membawa anjing untuk tujuan keselamatan. Kalau mati, mereka ditanam di gua itu. Boleh jadi kalau dibunuh, penindas menguburkan mereka di situ juga. Di Roumieh (Lubnan) juga ada gua besar seumpama ini.

Ajaran Yahudi

Mungkin ini faktor terdapat perbezaan lokasi gua kerana ada banyak kes penindasan. Akhirnya, hanya ada satu yang betul-betul tepat sebagaimana kisah Ashabul Kahfi dalam al-Quran.

Pandangan kedua pula menyebut peristiwa itu berlaku selepas zaman Nabi Isa, sekitar abad ketiga. Ibn ‘Ashur semasa menyebut pandangan ini mengiranya berlaku sekitar 237 Masihi.

Imam al-Qasimi pula menukil pandangan Maximos Mazlom, seorang Patriark Katolik Rom. Berdasarkan itu, sumber sejarah Kristian menyatakan peristiwa berlaku sekitar 252 Masihi.

Ibn Athir dalam al-Kamil fi al-Tarikh menyebut peristiwa Ashabul Kahfi berlaku pada zaman Raja Dikyus atau Dikyanus. Mereka tinggal di bandar bawah pemerintahan Rom yang bernama Efesus. Rajanya menyembah berhala tetapi mereka mengikuti ajaran Nabi Isa.

Kajian Dr Ahmad Majzub berjudul Ahl al-Kahf fi al-Taurah wa al-Injil wa al-Quran pula menyimpulkan kisah Ashabul Kahfi tiada dalam sumber Yahudi. Ini kerana pemuda itu asalnya pengikut ajaran Yahudi yang beriman dengan Nabi Isa, sedangkan kelompok Yahudi umumnya menentang ajaran baginda.

Sumber sejarah Kristian ada menyebut kisah ini, antaranya karangan Eutychius of Alexandria atau dikenali di dunia Arab sebagai Said Bitriq. Beliau menyebut semasa lapan tahun pemerintahan Theodosius I, pemuda-pemuda itu melarikan diri daripada Raja Dikyus dengan bersembunyi di gua di Efesus.

Mereka tertidur yang disangka satu malam sahaja, tapi tidur bertahun-tahun lamanya sebelum akhirnya bangun dan segalanya berubah.

Kesimpulannya, ada perbezaan pandangan dalam kalangan ulama tafsir dan sejarah Islam mengenai hal ini sama ada mereka pengikut ajaran Nabi Isa atau tidak. Pandangan yang menyebut mereka pengikut ajaran Nabi Isa pun banyak.

Bagi yang menerima mereka mengikuti ajaran Nabi Isa, tidak salah untuk menyebutnya sebagai ajaran Kristian. Asal sahaja menyebutnya sebelum berlaku penyelewengan, bukannya selepas terjadi penyelewengan.

Tambahan pula, menurut kajian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:

“Perkataan christ memiliki maksud yang sama dengan perkataan al-masih dalam bahasa Hebrew yang bermaksud Rasul yang dipilih dan ia disebutkan dalam al-Quran. Oleh itu, mengatakan bahawa Ashab al-Kahfi adalah beragama Kristian tidak menjadi kesalahan.”

Perselisihan dalam hal ini aspek lebih terkait soal pengungkapan, kerana yang menyebut sebagai pengikut Kristian tentulah bermaksud sebelum berlaku penyelewengan. Yang lebih penting, kita menghayati pengajaran kisah tersebut demi menjadi muslim yang lebih baik.

 

* Marwan adalah penulis dan penterjemah lulusan Universiti Yarmouk, Jordan dan Universiti Sains Islam Malaysia. Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Selangorkini


Pengarang :