Penganut Hindu menaiki 272 anak tangga bagi menunaikan upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves pada 24 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kuil Batu Caves bakal dilengkapi kemudahan eskalator

GOMBAK, 25 JAN: Kerajaan Negeri bersetuju untuk membina kemudahan eskalator sebagai alternatif kepada 272 anak tangga yang perlu dinaiki untuk ke Gua Kuil Sri Subramaniam di Batu Caves.

Dato’ Menteri Besar berkata Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawaan Sensitif Alam Sekitar (JTPKSAS) Selangor sedang memperhalusi perkara itu terutama melibatkan keselamatan struktur bangunan.

“Kerajaan Negeri bersetuju untuk meluluskan kemudahan ini kerana ia akan mengurangkan jumlah kesesakan, menjimatkan masa pengunjung dan memberi keselesaan kepada warga emas

“Kita masih menunggu laporan jawatankuasa. Ia penting untuk memastikan struktur dibina selamat serta mampu menampung kehadiran jumlah pengunjung yang ramai,” katanya.” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Thaipusam peringkat Selangor di Batu Caves malam tadi.

Terdahulu, Amirudin turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM535,000 kepada 47 kuil di seluruh Selangor.

Sementara itu, EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata pentadbiran negeri sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada masyarakat India terutama menjelang musim perayaan.

“Sejak 2008, Kerajaan Negeri sentiasa membantu rumah ibadat seperti kuil, gereja dan surau bagi kerja baik taraf dan pemulihan. Bantuan kewangan ini bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti keagamaan,” katanya.


Pengarang :