Mangsa banjir Rahim Tabaron, 73, (kiri) memeriksa tekanan darah di kaunter pemeriksaan kesihatan yang disediakan Pejabat Kesihatan Sandakan di Pusat Pemindahan Sementara Masjid Nur Iman, Sungai Memanjang, Sandakan pada 16 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa bah tiga negeri kekal, Sarawak terbaru dilanda banjir

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor, Pahang dan Sabah tidak berubah sejak tengah malam tadi melibatkan 205 orang yang masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), dua PPS di Segamat, Johor masih beroperasi dengan menempatkan 65 mangsa daripada 19 keluarga.

Status terkini di Pahang merekodkan dua PPS di daerah Rompin dengan 110 mangsa daripada 36 keluarga, manakala di Sabah, 30 mangsa daripada 16 keluarga masih berada di sebuah PPS di Beluran.

Sementara itu, Sarawak menjadi negeri terbaharu dilanda banjir melibatkan 30 mangsa daripada enam keluarga setakat pagi ini yang ditempatkan di sebuah PPS.

Kesemua mangsa banjir dari Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu di Debak, kira-kira 270 kilometer (km) dari bandar raya Kuching itu ditempatkan di PPS Dewan Millenia yang dibuka pada 1.30 pagi tadi berikutan banjir yang melanda kawasan itu selepas hujan berterusan sejak semalam.

Berhubung perkembangan bagi insiden kebakaran di Sarawak, 38 mangsa daripada 12 keluarga masih berlindung di sebuah PPS yang beroperasi di daerah Kuching pagi ini.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor, Kedah, Perlis dan Terengganu berada pada paras bahaya setakat 6 pagi.

Sungai terlibat di Johor ialah Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Muar di Segamat, di Kedah (Sungai Kedah, Kota Setar), di Perlis (Sungai Arau) dan di Terengganu (Sungai Terengganu, Hulu Terengganu).

Nadma turut memaklumkan 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh, antaranya Jalan Kuala Mentiga – Terapai di Pekan, Pahang, Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Jalan Bukit Kayu Hitam – Bukit Tangga – Sintok di Kubang Pasu, Kedah.

– BERNAMA


Pengarang :