PBTSELANGOR

MDSB buka permohonan tapak bazar Ramadan 17 Januari, caj RM2

SHAH ALAM, 16 JAN: Borang permohonan tapak bazar Ramadan bawah pentadbiran Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) boleh didapati mulai esok di Jabatan Pelesenan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Unit Korporat dan Perhubungan Awamnya memaklumkan caj RM2 dikenakan untuk setiap permohonan dengan beberapa syarat perlu dipatuhi antaranya warganegara tempatan dan tiada penyakit berjangkit.

Menurut PBT berkenaan, pemohon juga mesti mempunyai rekod suntikan pelalian antitifoid dan menghadiri kursus pengendalian makanan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pemohon dibenarkan memohon untuk satu lokasi sahaja. Borang permohonan boleh dikembalikan mengikut zon, iaitu Sekinchan pada 30 hingga 31 Januari dan Sungai Besar (5 hingga 7 Februari).

“Bagi zon Sabak pula ditetapkan antara 14 hingga 16 Februari, manakala Parit Baru dan kawasan lain pada 19 hingga 23 Februari,” kata unit tersebut dalam kenyataan, baru-baru ini.

MDSB menambah kadar bayaran tapak berbeza mengikut kategori jualan iaitu RM120 bagi minuman dan makanan siap bermasak, sementara memasak atau membakar yang menghasilkan sampah berat RM150.

Jelasnya, sampah berat merujuk kepada jualan ayam golek, ikan bakar, air tebu, air kelapa dan lain-lain, dengan diskaun RM20 di Sabak berikutan tiada bazar pada setiap Jumaat.

“Bagi tapak persendirian, kaki lima premis, tapak penjaja sedia ada dan lain-lain dikenakan
fi bayaran sebanyak RM60,” katanya lagi.


Pengarang :