Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan Artificial Intelligence (AI) Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 16 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Kerajaan serius tingkatkan celik digital rakyat, boleh dimanfaat semua peringkat

SERDANG, 16 JAN: Kerajaan serius dalam usaha meningkatkan celik digital dalam kalangan masyarakat, khususnya menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata portal AI Untuk Rakyat yang diperkenalkan hari ini merupakan permulaan yang baik dan boleh dimanfaatkan terutamanya kepada pelajar di setiap peringkat.

“Kita serius dalam transformasi digital. Kita tidak ada pilihan selain memastikan rakyat menyedari sepenuhnya apa yang saya sebut sebagai celik digital dan celik Al.

“Kita ada aplikasi (AI Untuk Rakyat), dan kita boleh mulakan dengannya. Ia hanya pengenalan asas mengenai teknologi AI, dan pelajar boleh cuba memulakannya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) melawat ruang pameran selepas merasmikan Artificial Intelligence (AI) Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 16 Januari 2024. Foto BERNAMA

Terdahulu beliau merasmikan majlis peluncuran portal AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Dalam pada itu, Anwar menyedari kebimbangan rakyat berhubung penggunaan teknologi AI yang didakwa bakal menggantikan tenaga manusia selain tidak bersifat manusiawi.

Jelasnya, rakyat tidak perlu gusar dan harus bergantung kepada kepercayaan iman dan kekuatan jati diri sebagai benteng pertahanan asas individu.

“Kebimbangannya adalah manusia sintetik ini akan menguasai manusia. Seperti yang kita lihat, soal nilai dan akhlak itu tidak relevan dalam teknologi AI.

“Ini tidak harus menakutkan. Seperti kita perkenalkan komputer dulu. Bentang pertahanan kita adalah iman, mental, dalaman dan menerusi sistem pendidikan kita terutamanya di rumah,” katanya.

Portal AI Untuk Rakyat boleh diakses secara percuma dan disediakan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.

Portal pembelajaran kendiri secara dalam talian itu mempunyai dua modul iaitu AI Aware dan AI Appreciate serta dilengkapkan mengikut tahap kelajuan masing-masing selain boleh dihabiskan dalam tempoh empat jam jika dibuat secara terus.

Program dengan kerjasama Intel Malaysia itu boleh dicapai menerusi pautan www.ai.gov.my bermula hari ini.


Pengarang :