Antara aksi skuad hoki wanita ketika bertemu Afrika Selatan dalam saingan suku akhir Piala Dunia Hoki 5 Sebelah (5s) di Muscat, Oman pada 26 Januari 2024. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
AGENDASUKANKINI

Skuad hoki wanita gagal mara ke separuh akhir Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Skuad hoki wanita negara gagal meloloskan diri ke separuh akhir Piala Dunia Hoki 5 Sebelah (5s) apabila tumpas 4-6 kepada Afrika Selatan di Muscat, Oman hari ini.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Hockey Oman Venue itu, Malaysia memperoleh empat jaringan menerusi Nurul Safiqah Mat Isa pada minit kelima, Nur Zafirah Aziz (8′), Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri (10′) dan Qhairunisya Mohd Zanili (14′).

Sementara enam gol Afrika Selatan kesemuanya dicipta menerusi jaringan padang diledakkan oleh Reabetswe Phume pada minit kedua, ke-15 dan ke-17 serta Izelle Cilliers (25′) dan Toni Marks (28′ dan 30′).

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terpaksa mengharungi perlawanan klasifikasi kedudukan 5-8 bertemu New Zealand yang akan berlangsung pada 11 malam ini.

Ketua jurulatih pasukan negara, Nabil Fiqri Mohd Noor berkata setelah gagal mara ke separuh akhir, pasukan negara perlu memastikan untuk menamatkan saingan di tempat kelima.

“Kita akan cuba habiskan perlawanan dengan satu keputusan paling baik, buru tempat kelima,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media hari ini.

Sementara itu pada satu lagi perlawanan suku akhir, India membelasah New Zealand 11-1, sekali gus menempah slot ke separuh akhir.

– BERNAMA


Pengarang :