Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao beramah mesra bersama peniaga pada walkabout di sekitar pasar awam pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Terus dekati penduduk, calon Kerajaan Perpaduan turun ke pasar awam

HULU SELANGOR, 30 APRIL: Calon Kerajaan Perpaduan memulakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pagi ini dengan bertemu penduduk di Pasar Awam Kuala Kubu Bharu, di sini.

Memasuki hari keempat berkempen, Pang Sock Tao mengakui semakin bertenaga dan teruja untuk bertemu dengan lebih ramai penduduk.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (tengah) bersama Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching bercakap kepada media pada Walkabout disekitar Pasar Awam pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Saya gembira dapat jumpa pengundi kerana akan dapat mengetahui banyak perkara. Ada juga ditanya berkenaan calon baharu dan luar tetapi saya memberi penerangan kepada mereka.

“Saya tegaskan bahawa ingin beri perkhidmatan terbaik dan sanggup tinggal di sini. Hendak seribu daya tak nak seribu dalih,” katanya ketika ditemui pagi tadi.

Kehadiran Sock Tao diiringi Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching disambut mesra pengunjung dan sebahagian daripada mereka meminta untuk bergambar bersama.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (tiga, kiri) beramah mesra bersama orang ramai pada walkabout di sekitar Pasar Awam pekan Kuala Kubu Bharu pada 30 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Dalam kesempatan itu, calon muda berusia 31 tahun itu memperkenalkan dirinya sebagai calon nombor dua dan mengedarkan risalah kempen berkaitan dirinya.

PRK DUN KKB diadakan susulan kematian Lee Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao dicabar Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan PRK KKB pada 11 Mei ini, hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.


Pengarang :