Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Nazli Md Taib (tengah) ketika mesyuarat bulanan di Menara MPKJ, Kajang pada 24 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Buang sampah di tapak pelupusan haram, MPKj sita 46 lori

HULU LANGAT, 24 MEI: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita sebanyak 46 lori sampah kerana membuang sisa di tapak pelupusan haram.

Yang Dipertuanya Nazli Md Taib berkata semua lori tersebut disita antara Januari hingga Mei tahun ini dengan anggaran sitaan keseluruhan RM253,000.

“Tindakan ini dibuat menerusi operasi tapak pelupusan sampah haram yang dilaksanakan sejak Januari hingga Mei tahun ini.

“Kompaun telah dikeluarkan mengikut Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat di sini, hari ini.

Nazli menegaskan pihaknya akan mengadakan pemantauan berkala bagi membanteras kegiatan membuang sampah di tapak pelupusan haram.

“Pihak kami komited memastikan masalah itu dapat diselesaikan sekaligus meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan pentadbiran MPKj,” katanya.


Pengarang :