Logo Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)
PBTSELANGOR

MPKj selenggara saliran lebih kerap, elak banjir kilat berulang

HULU LANGAT, 24 MEI: Kerja penyelenggaraan longkang dan saliran sekitar Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dilakukan lebih kerap bagi mengelak kejadian banjir kilat berulang.

Yang Dipertuanya Nazli Md Taib berkata Skuad Pantas MPKj turut dikerah untuk sentiasa memantau dan bersedia turun padang sekiranya berlaku sebarang bencana.

Yang di pertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Nazli Md Taib (tengah) ketika Mesyuarat penuh bulanan MPKJ di Menara MPKJ, Hulu Langat pada 24 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Taburan hujan memang sukar dijangka ketika ini longkang dan sungai tidak mampu menampung air. Justeru, MPKj akan memastikan semua saliran parit dan longkang sentiasa dibersihkan dan diselenggara dengan baik.

“MPKj juga akan sentiasa meningkatkan kerjasama dengan agensi berkaitan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Langat, Jabatan Kerja Raya dan KDEB Waste Management,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat bulanan di Menara MPKj di sini hari ini.

Mengulas kejadian banjir di Taman Sri Langat, Jalan Reko pada 8 Mei lalu, Nazli berkata kerja pembersihan di kawasan itu telah selesai sepenuhnya pada 13 Mei.

“Hujan lebat pada 8 Mei lalu telah mengundang banjir kilat di sekitar Bandar Kajang, khususnya di Taman Sri Langat Reko dengan ketinggian paras air merosakkan harta benda penduduk.

“Keseluruhan kekuatan kakitangan MPKj telah diarahkan untuk membantu mengalihkan, mengangkat dan membuang sisa banjir ke lori yang disediakan,” jelasnya.


Pengarang :