Harga runcit petrol RON97, RON95 serta diesel tidak berubah bagi tempoh 2 hingga 8 Mei 2024 (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Harga petrol RON97, RON95, diesel kekal hingga 8 Mei

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Harga runcit petrol RON97 dan RON95 serta diesel masing-masing kekal pada harga RM3.47, RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 Mei ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga itu ditetapkan berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar kedua-dua produk melebihi paras harga siling ditetapkan,” menurut kementerian itu.

Kementerian itu menyatakan kerajaan juga akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terpelihara.

– BERNAMA

 


Pengarang :