AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Liga Super: Tundukkan Negeri Sembilan 4-0, Selangor daki empat anak tangga

SHAH ALAM, 26 MEI: Selangor FC meraih kemenangan besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Kejayaan itu sekali gus membantu Selangor mendaki empat anak tangga untuk berada di kedudukan keempat, lapor BH Online.

Terdahulu, Gergasi Merah yang berusaha keras mendapatkan jaringan awal bagaimanapun gagal memecah kebuntuan pada babak pertama meskipun memperoleh beberapa peluang.

Gol pertama skuad kendalian Nidzam Jamil diperoleh pada minit ke-57 menerusi rembatan Ronnie Fernandez selepas menerima hantaran daripada Noor Al-Rawabdeh.

Antara aksi Selangor FC bertemu Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 26 Mei 2024. Keputusan perlawanan Selangor FC tewaskan Negeri Sembilan FC 4-0. Foto Facebook Selangor FC

Tidak tunggu lama, Selangor FC terus menggandakan jaringan 11 minit kemudian selepas rembatan deras Yohandry Orozco berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan FC, Muhamad Aqil Abdul Razak.

Orozco terus meletakkan Selangor FC dalam keadaan selesa apabila meledak gol ketiga pada minit ke-75, sebelum pemain gantian, Reziq Bani Hani menyumbang gol keempat pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor FC yang juga naib juara Liga Super musim lalu mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan.

Anak buah Nidzam sebelum ini menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 1-0 di gelanggang sama selepas mereka menarik diri dari aksi Piala Sumbangsih.


Pengarang :