Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman (tiga dari kiri) bersama Pengarah Urusan Averex Technology Sdn Bhd Kevin Tan (dua dari kanan) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Wisma MBSA di sini pada 21 Mei 2024. FOTO MBSA.
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA-Averex Technology jayakan kempen kebersihan premis makanan

SHAH ALAM, 23 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memeterai perjanjian bersama syarikat Averex Technology Sdn Bhd bagi menjayakan kempen kebersihan premis makanan sebagai persediaan Tahun Melawat Selangor 2025.

Pengarah Korporat dan Perhubungan Awamnya Mohd Azhar Mohd Sharif berkata kempen itu melibatkan 300 pengusaha dan pemilik premis makanan dengan menyasarkan peningkatan tahap kebersihan di premis yang menjadi tumpuan pelancong

“Kolaborasi ini merupakan inisiatif MBSA untuk meningkatkan tahap kebersihan setiap premis makanan selain memberi kesedaran amalan kebersihan baik.

“MBSA mahu membantu meningkatkan tahap kebersihan makanan di premis yang mendapat gred rendah serta memastikan tahap kebersihan premis makanan di aras yang terbaik,” katanya menerusi kenyataan.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman bersama Pengarah Urusan Averex Technology Kevin Tan di Wisma MBSA, kelmarin.

Untuk rekod, Averex Technology merupakan pengeluar utama bagi barangan pembersihan dan sanitasi untuk pelbagai jenis industri yang bertapak di Shah Alam sejak 1995.

Menurut Mohd Azhar, sebanyak 4,117 premis makanan memilik lesen perniagaan sah dan semua premis terbabit perlu menjalani Sistem Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan Secara Kendiri i- GRED.

Jelasnya, MBSA turut melaksana pelbagai aktiviti seperti pemeriksaan berkala, penggredan dan juga penguatkuasaan seperti kompaun, sistem demerit, operasi bersepadu serta sitaan makanan bagi memastikan premis makanan di Shah Alam bersih.

“Kita mahu memberikan pendedahan serta kesedaran kepada pengusaha premis makanan berkaitan penjagaan dan keberkesanan amalan kebersihan premis dalam menjamin keselamatan makanan,” katanya.

 


Pengarang :