Menteri Kesihatan Palestin Mai Alkaila pada 21 Oktober 2023 merayu masyarakat antarabangsa dan semua pertubuhan hak asasi manusia untuk campur tangan dan melindungi Hospital Al Quds di Gaza daripada ancaman serangan Israel. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Hospital Al-Awda diserbu, kakitangan perubatan tinggalkan premis

GAZA CITY, 23 MEI: Hospital Al-Awda di Jabalia di utara Semenanjung Gaza melaporkan tentera Israel menyerbu hospital tersebut dan memaksa kakitangan perubatannya meninggalkan premis selepas empat hari dikepung, menurut laporan Anadolu Agency (AA).

Dalam satu kenyataan, pihak hospital menyatakan kakitangan perubatan dipaksa meninggalkan premis ke arah barat bandar Gaza selepas seorang daripada kakitangan perubatan ditangkap tentera Israel.

Kenyataan itu menambah 14 kakitangan perubatan masih berada di hospital, bersama 11 orang yang cedera dan pengiring mereka yang tidak dapat meninggalkan hospital tanpa ambulans.

Pada Rabu, pejabat media kerajaan di Gaza menyatakan sektor kesihatan di utara Gaza lumpuh sepenuhnya disebabkan Israel yang sengaja menyasarkan kemudahan kesihatan itu sejak 7 Oktober.

Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza sejak serangan pada 7 Oktober 2023 oleh kumpulan Palestin Hamas.

Lebih 35,700 rakyat Palestin terbunuh sejak itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan hampir 80,000 lagi cedera.

Lapan bulan selepas perang Israel, sebahagian besar infrastruktur rosak atau musnah di Gaza selain menghadapi kekurangan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang berlarutan.

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Mahkamah juga mengarahkan Israel mengambil langkah untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan di kawasan Palestin yang terkepung.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :