Keadaan rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee yang dipecah masuk pada 22 Mei 2024. Foto Instagram khuzaimipiee
AGENDANASIONAL

Motosikal, pasport antara barangan milik pemain Selangor FC hilang, rumah dipecah masuk

SHAH ALAM, 23 MEI: Sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsa milik pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee hilang selepas rumahnya dipecah masuk semalam.

Ketika kejadian Ahmad Khuzaimi menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor di sini sebelum menyedari kehilangan barang miliknya selepas pulang ke rumah pada 9 malam.

“Pada jam 9 malam semasa saya sampai di rumah, saya dapati pintu pagar depan dan belakang terbuka.

“Saya buat pemeriksaan di dalam rumah dan mendapati ada barang hilang seperti motosikal jenis Yamaha Y15, empat beg silang pelbagai jenama dan pasport.

“Hasil pemeriksaan awal anggaran dan lain-lain kerugian saya tidak pasti,” menurut laporan polis yang dibuatnya.

Ahmad Khuzaimi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 11.30 malam.

Menerusi hantaran di Instagram Story, beliau turut berkongsi foto keadaan di dalam rumahnya yang dipecah masuk.

Polis menjalankan siasatan selepas rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee dipecah masuk pada 22 Mei 2024. Foto Instagram khuzaimipiee

Sementara itu laporan Berita Harian menyebut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi memberitahu akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu hari ini.

Pada 2 Mei lalu, pemain sayap Terengganu FC Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki akibat diserang dan dirompak berhampiran kediamannya di bandar Kuala Terengganu.

Tiga hari kemudian iaitu pada 5 Mei pemain Selangor FC dan kebangsaan, Faisal Halim cedera disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya menyebabkannya mengalami kecederaan melecur tahap empat di beberapa bahagian badan.

Pada 7 Mei, cermin belakang kereta pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dipecahkan berhampiran pusat latihan JDT di Sri Gelam, Johor Bahru.


Pengarang :