Orang ramai mendengar syarahan Cabaran terhadap tradisi turath dalam abad ke-21 oleh Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah ketika program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB komited jadikan Shah Alam pusat ilmu karya warisan, pengajian Islam

SHAH ALAM, 23 MEI: Kerajaan Negeri mengulangi hasrat menjadikan Shah Alam dan beberapa bandar lain di Selangor sebagai pusat keilmuan bagi karya warisan dan pengajian Islam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia selaras visi pentadbirannya untuk menghidupkan Selangor terutama dalam pemahaman agama dan kehidupan dengan asas ilmu.

“Harapan besar saya untuk melihat Shah Alam dan bandar lain berkembang menjadi pusat keilmuwan karya-karya dan pengajian Islam secara kemas dan tersusun.

“(Ini) termasuk pemahaman tentang agama dan kehidupan dengan asas ilmu yang ditonjolkan dan digambarkan dengan karya lama yang menjadi warisan turun temurun masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook, hari ini.

Wawancara sempena Festival Turath Islami Selangor turut disertai Pengarah Eksekutif Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) merangkap pengarah program Farhan Affandi.

Orang ramai mengikuti Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin dalam ucapan perasmian Muzakarah Ulama Umara sempena Festival Turath Islami tahun lalu meluahkan hasrat menjadikan Shah Alam sebagai pusat keilmuan terkemuka untuk rujukan banyak pihak.

Beliau turut membayangkan ibu negeri berkenaan memainkan peranan seumpama Baitul Hikmah di Baghdad, Iraq dan Universiti al-Qarawiyyin di Al-Azhar, Mesir.

Baitul Hikmah yang ditubuhkan Kerajaan Abbasiyah pada Zaman Keemasan Islam pada abad pertengahan menjadi lokasi tumpuan cendikiawan Islam dalam pelbagai cabang pengetahuan.

Dalam pada itu, Amirudin menambah ajaran dan syiar Islam perlu berkembang berdasarkan ilmu dan bukan hanya sekadar ikut-ikutan atau pengaruh daripada mana-mana pihak.

“Kalau ia tidak disandarkan pada ilmu, ia hanya akan mencetuskan kepada perkara-perkara seperti hal yang agak melampau dalam pemahaman dan pelaksanaan,” katanya.

Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirai pada 26 Mei hingga 2 Jun bakal mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam membabitkan ulama tradisional serta ahli akademik.

Berlangsung di tiga lokasi termasuk Masjid Negeri, festival itu turut menampilkan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah yang akan mengupas Kitab Hadis 40.


Pengarang :