Polis mencari dua suspek dipercayai memecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC Ahmad Khuzaimi Piee pada 22 Mei 2024. Foto Instagram khuzaimipiee
AGENDANASIONAL

Dua suspek kes pecah masuk rumah pemain Selangor FC dicari polis

SHAH ALAM, 23 MEI: Polis memburu suspek yang disyaki memecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC Ahmad Khuzaimi Piee dan melarikan sebuah motosikal milik mangsa malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pemain berusia 31 tahun itu pada 11.30 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi kejadian.

Siasatan awal mendapati suspek yang dipercayai menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) putih itu melarikan motosikal jenis Yamaha Y15R milik mangsa.

“Dua suspek dipercayai datang menggunakan MPV dengan seorang daripadanya melarikan motosikal manakala seorang lagi memandu MPV ketika meninggalkan rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. Foto Facebook IPD SHAH ALAM

“Semasa kejadian, mangsa dan ahli keluarga tiada di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Selain melarikan motosikal dan empat beg pelbagai jenama, pihaknya mendapati kejadian tidak membabitkan kehilangan wang tunai dan barangan berharga lain.

Sebelum itu Ahmad Khuzaimi berkongsi laporan polis yang dibuat melalui akaun media sosial miliknya berhubung kediamannya dipecah masuk dengan beliau kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan passport antarabangsa.

Menurut Ahmad Khuzaimi, beliau menyedari kejadian itu sejurus pulang latihan pada jam 9 malam selepas mendapati pintu pagar depan dan belakang rumah terbuka.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, polis sedang berusaha mengesan dan menangkap suspek.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071 bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Keadaan rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee yang dipecah masuk pada 22 Mei 2024. Foto Instagram khuzaimipiee

Pengarang :