Orang ramai mendengar Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Negeri cadang sedia pengangkutan percuma buat pengunjung festival turath

SHAH ALAM, 23 MEI: Kerajaan Negeri bercadang menyediakan pengangkutan percuma untuk memudahkan orang ramai mengunjungi Festival Turath Islami Selangor bermula Ahad ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbirannya sedang mengumpul senarai semak pengunjung yang menginap di hotel sekitar Shah Alam, Subang dan Klang.

“Kerajaan Negeri sedang berfikir kalau boleh untuk dapatkan senarai semak semua pengunjung hotel di sekitar Shah Alam, Subang dan Klang.

“Kita akan cuba aturkan kenderaan seperti bas dan sebagainya supaya boleh bawa ke masjid. Festival kali ini tertumpu di tiga lokasi iaitu Masjid Negeri, Bangi dan Stadium Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook, hari ini.

Wawancara sempena Festival Turath Islami Selangor turut disertai Pengarah Eksekutif Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) merangkap pengarah program Farhan Affandi.

Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirai pada 26 Mei hingga 2 Jun bakal mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam membabitkan ulama tradisional serta ahli akademik.

Festival keilmuwan Islam berkenaan bakal berlangsung di tiga lokasi iaitu Masjid Negeri, Universiti Islam Selangor (UIS) di Bangi dan pekarangan Stadium Shah Alam.

Pengisian menarik termasuk penampilan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah yang akan mengupas Kitab Hadis 40 selain program Darul Ehsan Berselawat dan pameran manuskrip al-Quran berusia hampir 400 tahun.


Pengarang :