AGENDANASIONAL

Polis siasat kes siswi IPTS maut jatuh dari tingkat 21 hotel

GEORGE TOWN, 23 MEI: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian seorang pelajar wanita di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) maut dipercayai terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel di Tanjung Bungah, di sini semalam.

Mayat wanita itu ditemukan orang ramai dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah sebelum memaklumkan kejadian kepada polis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 3.35 petang dan terus ke lokasi sebelum mendapati pelajar wanita berusia 24 tahun itu telah meninggal dunia.

“Berdasarkan siasatan pelajar itu mendaftar masuk ke hotel berkenaan semalam bersama teman lelakinya sebelum mangsa dilaporkan terjatuh.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu bagi mengetahui punca sebenar insiden berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Hamzah berkata polis sudah merekodkan keterangan teman lelaki mangsa yang berusia 24 tahun dan bekerja sendiri.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan ketika ini siasatan itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut atau SDR namun siasatan terperinci sedang dijalankan.

-BERNAMA

 


Pengarang :