Jemaah haji wanita kumpulan pertama melambaikan tangan sebelum berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 tengah malam 8 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penerbangan 56 bakal haji dijadual semula, TH pastikan kebajikan mereka terjaga

SEPANG, 23 MEI: Penerbangan bagi 56 bakal jemaah haji daripada kumpulan KT043 yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci pagi tadi, dijadualkan semula esok.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mereka yang terlibat dijadualkan berlepas dengan penerbangan Saudi Airlines pada 5.35 petang, menuju ke Jeddah dan kemudian diterbangkan ke Madinah.

Menurut kenyataan itu, pesawat Saudi Airlines SV5091 yang dijadual berangkat ke Tanah Suci pada 6.30 pagi hari ini dengan 353 orang dari balai pelepasan Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) Sepang, dilaporkan mengalami masalah teknikal.

“Sebuah pesawat gantian diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk membawa 297 bakal haji dari kumpulan jemaah berkenaan dan berlepas dari KLIA pada 10.36 pagi tadi menuju ke Madinah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, TH akan menyediakan penginapan dan makanan kepada 56 bakal haji yang terkesan di MHCC, Sepang sehingga tarikh penerbangan baharu bagi memastikan kebajikan mereka terjaga sepenuhnya.

“Penjadualan semula penerbangan kumpulan kecil bakal haji ini tidak menjejaskan jadual penerbangan bagi kumpulan bakal haji yang lain dan akan berjalan seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :