Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (dua, kiri) memegang buku laporan prestasi Lembaga Zakat Selangor ketika sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2023 di Hotel Mardhiyah, Shah Alam pada 23 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS agih RM1.15 bilion zakat tahun lalu, 350,000 penerima individu, organisasi

SHAH ALAM, 23 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan RM1.15 bilion bayaran zakat sepanjang 2023 melibatkan lebih 350,000 penerima individu serta organisasi.

Pengerusinya Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata agihan kepada lapan kategori penerima antaranya asnaf, fakir dan miskin meningkat 9.7 peratus berbanding RM1.05 bilion agihan zakat dibuat pada 2022.

Jelasnya agihan terbabit turut memberi manfaat kepada lebih 65,000 keluarga asnaf malah usaha itu membantu lebih 3,600 keluarga keluar daripada belenggu kemisikinan.

“Agihan terbesar disalur kepada pembangunan sosial RM777 juta, meliputi hampir 77 peratus jumlah keseluruhan manakala kategori penerima terbesar ialah fakir, miskin dan mualaf melebihi RM670 juta.

Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Syed Anwar Jamalullail bercakap ketika sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2023 di Hotel Mardhiyah, Shah Alam pada 23 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“LZS turut menyalur RM171 juta kepada sektor pendidikan bagi tujuan pembayaran yuran serta biasiswa demi menjamin masa depan generasi akan datang,” katanya pada sidang media prestasi kutipan dan agihan zakat LZS 2023 hari ini.

Beliau berkata tahun lalu LZS merekodkan kutipan zakat RM1.12 bilion, meningkat hampir RM51.1 juta daripada RM1.07 bilion dicatatkan tahun sebelumnya.

“Tahun ini kita sasarkan kutipan RM1.15 bilion. Kepercayaan pembayar zakat menjadi faktor utama jumlah semakin meningkat.

“Sepanjang 30 tahun berkhidmat dari 1994, LZS mengagihkan lebih RM11 bilion kepada golongan memerlukan,” katanya.

Sidang media prestasi kutipan dan Agihan Zakat 2023 di Hotel Mardhiyah, Shah Alam pada 23 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :